Semasa acara Summer Game Fest, Panache Digital Games telah mendedahkan projek terbaru mereka yang bertajuk 1666: Amsterdam. Bersempena dengan pengumuman tersebut, studio berkenaan telah melancarkan sebuah prolog percuma berdurasi kira-kira 30 minit yang kini boleh dimuat turun dan dimainkan di PC melalui platform Steam dan Epic Games Store.

Versi penuh permainan bergenre third-person story-led action-adventure ini disasarkan untuk pelancaran fasa Early Access pada tahun 2026 untuk PC. Versi untuk platform konsol juga sedang dirancang dan akan dikeluarkan pada suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Diarahkan oleh Patrice Désilets, 1666: Amsterdam membawa pemain menelusuri misteri yang merentasi tiga garis masa berbeza: tahun 1666, 1999, dan dunia masa kini. Penceritaan utama berpusat pada Noa Brooklyn, seorang watak yang dilahirkan sebagai Collector. Noa ditugaskan untuk menuntut hutang kuasa daripada entiti yang dipanggil Originals, yang telah lama menetap di kota Amsterdam dan mengeksploitasi kuasa mereka sejak kontrak dimeterai pada tahun 1333.

Penceritaan ini turut melibatkan watak bernama Aaron dari tahun 1999, di mana dia mengalami dan melihat dunia tersebut melalui perspektif seekor kucing. Menerusi prolog yang disediakan, pemain akan melalui fasa permulaan Noa untuk memahami peranannya, dan satu keputusan penting perlu dibuat oleh pemain untuk memilih rakan kembara yang akan menemaninya.

Panache Digital Games, yang sebelum ini membangunkan Ancestors: The Humankind Odyssey, telah mengusahakan judul terbaru ini selama enam tahun dengan tenaga kerja seramai 70 orang di Montreal. Menurut Patrice Désilets, pasukan beliau memfokuskan sepenuhnya kepada kualiti permainan sebenar yang dibina secara berperingkat dari semasa ke semasa, tanpa bergantung kepada rakaman palsu atau demo jenis “vertical slice”.

Leave a Reply