Peminat permainan video tempatan kini boleh menguji demo pertama untuk ZHEN: Shattered Legacy, sebuah permainan bercorak twin-stick brawler yang sedang dibangunkan oleh studio dari Malaysia, Ghost Machine Games. Pengumuman mengenai pelancaran demo serta treler baharu ini telah dibuat bersempena dengan acara BitSummit Direct di Future Games Show.
Permainan ini diterbitkan oleh syarikat penerbitan Singapura, Soft Source, dan senarai hajat kini sudah dibuka di platform Steam.
ZHEN: Shattered Legacy membawakan jalan cerita fantasi di mana pemain mengawal watak seorang sami pahlawan robot yang dihantar ke bumi Zhen, sebuah dunia fiksyen berinspirasikan Asia Timur yang musnah akibat perang purba. Watak utama yang bersenjatakan sebatang staf bo ini perlu mengembara untuk mencabar ‘Masters of Kung Fu’ demi merangkul gelaran Grand Master.
Pihak pembangun menyatakan bahawa inspirasi utama projek ini datang daripada filem-filem kung fu klasik Hong Kong seperti The 36th Chamber of Shaolin, Once Upon a Time in China, dan Kung Fu Hustle.
Bagi rekaan dunia pula, ia menggabungkan konsep bandar dan kampung tinggal di Jepun yang dikenali sebagai ‘haikyo’ dengan suntikan elemen Asia Tenggara. Visual permainan memaparkan persekitaran yang diselimuti kabus misteri, lengkap dengan seni bina bangunan Asia Timur yang runtuh, arca batu yang rosak, serta laluan berbatu yang ditumbuhi semak samun.


Dari segi kawalan, ZHEN: Shattered Legacy menggunakan sistem mekanik twin-stick gaya klasik. Pemain perlu menggunakan kayu analog kanan untuk menyasar serta menyerang musuh, manakala kayu analog kiri berfungsi untuk pergerakan watak. Sistem pertempuran permainan ini memberi ganjaran kepada aspek ketepatan masa, kawalan ritma, kebolehan mengelak, serta melakukan tangkisan.
Selain daripada aksi pertarungan, aspek audio permainan ini dipengaruhi oleh subgenre hip-hop ‘Boom Bap’ tahun 90-an yang dipopularkan oleh kumpulan Wu Tang Clan. Sepanjang pengembaraan, pemain boleh mengumpul cakera (discs) untuk membuka runut bunyi baharu sekaligus mendedahkan kisah legenda dan sejarah di sebalik dunia Zhen.


Ghost Machine Games merupakan sebuah studio pembangunan dan penyumberan luar (outsourcing) yang ditubuhkan di Malaysia pada tahun 2022. Studio ini dibentuk oleh gabungan profesional industri yang mempunyai latar belakang dalam pembangunan permainan video tahap AAA serta indie.
Manakala Soft Source pula merupakan penerbit permainan video yang berpangkalan di Singapura dan memfokuskan kepada usaha membawa karya-karya kreatif dari rantau Asia Tenggara ke pasaran global.


