Pemain PC kini boleh mencuba Total War: WARHAMMER III secara percuma di platform Steam sehingga 25 Mei 2026. Promosi hujung minggu percuma ini diadakan selari dengan pelancaran kandungan baharu permainan tersebut, iaitu Bhashiva & The Tiger Warriors Character Pack.

Selain akses percuma, permainan asas ini turut menerima potongan harga sebanyak 85 peratus sebagai sebahagian daripada kempen jualan WARHAMMER SKULLS 2026 yang sedang berlangsung. Penawaran ini memberi peluang kepada pemain baharu untuk mencuba elemen strategy siri ini tanpa sebarang kos sebelum beralih kepada pembelian penuh pada harga yang telah diturunkan.

Pek karakter Bhashiva & The Tiger Warriors kini sedia dimuat turun melalui Steam, Epic Games Store, dan Microsoft Store. Bagi melengkapkan barisan puak Grand Cathay, sebuah pakej khas yang dikenali sebagai Grand Cathay Collection turut ditawarkan. Pakej ini menggabungkan DLC Bhashiva bersama karakter Legendary Lord Yuan Bo dengan tawaran diskaun pembelian sebanyak 75 peratus. Himpunan ini boleh dibeli sehingga 29 Mei 2026. Walau bagaimanapun, pemain yang sudah memiliki karakter Yuan Bo tidak layak untuk membeli berkas koleksi ini.

Leave a Reply