SEGA melalui ATLUS dan Rovio Entertainment, telah memeterai kerjasama berskala global dengan rangkaian peruncit Animate. Projek kolaborasi ini akan berlangsung selama setahun bermula Jun 2026 di lebih 140 cawangan Animate di Jepun dan pasaran antarabangsa, termasuk juga Malaysia. Lapan harta intelek (IP) yang disahkan menyertai acara ini ialah Sonic The Hedgehog, PUYOPUYO, HATSUNE MIKU: COLORFUL STAGE!, siri Persona, Metaphor: ReFantazio, Yakuza / Like a Dragon, Angry Birds, dan Sakura Wars. Format pengisian acara dibahagikan kepada beberapa kategori, termasuk pameran tajuk khusus menerusi ONLY SHOP, kempen jualan barangan berserta tawaran item bonus, dan minuman latte bercetak grafik karakter di Animate Cafe Gratte.

Bagi pasaran tempatan, cawangan Animate Kuala Lumpur dijadualkan untuk menganjurkan hampir keseluruhan siri acara ini, di mana cawangan tersebut turut disahkan sebagai salah satu lokasi yang dilengkapi dengan stesen percubaan permainan. Kalendar penganjuran di Kuala Lumpur akan bermula dengan Sonic The Hedgehog menerusi pameran ONLY SHOP dari 6 hingga 21 Jun 2026, manakala promosi Cafe Gratte serta jualan barangan akan berlangsung sehingga 28 Jun 2026. Selepas itu, kempen PUYOPUYO akan menawarkan minuman khas bermula 11 Julai hingga 2 Ogos 2026, diikuti pameran barangan pada sekitar bulan Februari 2027. Acara untuk HATSUNE MIKU: COLORFUL STAGE! pula dijadualkan berlangsung secara serentak untuk pameran dan tawaran kafe dari 15 Ogos hingga 6 September 2026.

Menjelang bulan September, tumpuan akan beralih kepada siri Persona yang akan mengambil alih ruang pameran dan kafe dari 12 hingga 27 September 2026. Memasuki suku keempat tahun ini, kempen untuk tajuk Metaphor: ReFantazio akan bermula dari 10 Oktober hingga 1 November 2026 untuk jualan barangan, dan penawaran di kafe bermula 11 Oktober hingga 1 November 2026. Jadual ini kemudiannya disusuli oleh pameran serta acara kafe untuk Yakuza / Like a Dragon yang ditetapkan dari 21 November hingga 13 Disember 2026.

Tirai projek kolaborasi ini akan dilengkapkan dengan pameran Angry Birds yang dijadualkan pada sekitar Disember 2026, diikuti oleh acara Sakura Wars yang merangkumi jualan barangan serta promosi Cafe Gratte pada Januari 2027. Segala butiran, penawaran, dan tarikh penganjuran acara adalah tertakluk kepada sebarang perubahan, penangguhan, atau pembatalan berikutan keadaan semasa.

Leave a Reply