Moonton telah mengumumkan yang pusingan Playoffs Mobile Legends Professional League Malaysia (MPL MY) Musim ke-17 akan berlangsung di Stadium Juara, Kompleks Sukan Negara Bukit Kiara bermula pada 3 hingga 7 Jun 2026. Jualan tiket untuk peringkat juga sudah dibuka melalui Ticket2U.

Terdapat tiga kategori tempat duduk yang ditawarkan kepada pengunjung iaitu Mythic, Legend, dan Epic. Untuk tiga hari pertama kejohanan yang merangkumi pusingan suku akhir, separuh akhir, dan perlawanan akhir Upper Bracket serta separuh akhir Lower Bracket, harga tiket ditetapkan pada RM25 (Mythic), RM20 (Legend), dan RM15 (Epic).

Harga tiket akan mengalami peningkatan bermula hari keempat bagi perlawanan akhir Lower Bracket, dengan harga diselaraskan kepada RM30 untuk Mythic, RM25 untuk Legend, dan RM20 untuk Epic. Bagi pusingan Grand Finals pada 7 Jun, tiket dijual pada kadar maksimum iaitu RM35 (Mythic), RM30 (Legend), dan RM20 (Epic).

Pembeli pas kategori Mythic akan menerima kelebihan eksklusif termasuk tempat duduk bebas (free seating) yang berada paling hampir dengan pentas perlawanan. Pemegang pas ini juga diberikan akses laluan keutamaan semasa sesi pendaftaran di lokasi, di samping menerima ganjaran digital dalam permainan berbentuk 269 Diamonds dan Random Skin Chest.

Dari segi format kejohanan, perlawanan dari hari pertama hingga hari ketiga akan menggunakan format Best of 5 (BO5), dengan perlawanan berlangsung dalam dua sesi iaitu jam 3 petang dan 7 malam. Perlawanan pada dua hari terakhir akan beralih kepada format Best of 7 (BO7) dan bermula lebih lewat pada jam 5:30 petang.

Selain daripada perlawanan utama di dalam stadium, pengunjung juga berpeluang untuk menyertai MPL MY Festival, sebuah acara iringan yang dibawakan khas oleh Esportscon.

Leave a Reply