Bagi saya tiada masalah untuk sesuatu filem sekadar ingin berikan apa yang penonton inginkan tanpa sebarang tambahan perkara lain, ataupun mempunyai lapisan-lapisan plot yang menarik, Mortal Kombat II filem susulan kepada Mortal Kombat yang diterbitkan lima tahun lepas, anda contoh yang jelas bagi filem sebegini. Sesiapa yang berminat ingin tonton Mortal Kombat sudah semestinya inginkan adegan pertarungan yang ganas dan menyeronokkan, dan Mortal Kombat II berjaya untuk memberikannya dengan kadar agak memuaskan.

Jika filem pertama memfokuskan kepada Cole Young (Lewis Tan) filem kedua ini lebih memberi spotlight kepada Johnny Cage (Karl Urban). Dia seorang yang mempunyai kemahiran ilmu pertahanan diri dan juga seorang pelakon yang sudah dilupai. Selepas dia terpilih untuk mewakili Earthrealm di dalam kejohanan ‘Mortal Kombat’ melawan Outworld yang diketuai oleh Shao Kahn (Martyn Ford). Walaupun tidak rela, dia terpaksa juga terlibat dengan kejohanan ini bersama dengan Sonya Blade (Jessica McNames), Liu Kang (Ludi Lin), Jax (Mehcad Brooks) dan Cole Young, mereka dibimbing oleh Lord Raiden (Tadanobu Asano)

Penceritaan kemudian lebih memfokuskan bagaimana Johnny Cage mula memahami mengenai kejohanan ini dan mengapa ia penting untuk Earthrealm memenanginya, selain itu, ia juga memfokuskan kepada Kitana (Adeline Rudolph) yang bersama dengan Shao Kahn akan tetapi dia sentiasa bercadang untuk membalas dendam terhadap Shao Kahn yang membunuh bapanya. Dua watak utama ini yang menggerakkan plot dan mereka juga menerima perkembangan watak yang lebih banyak. Tidak lupa juga Kano (Josh Lawson) yang menjadi antara watak menarik di dalam filem ini.

Penceritaan mudah untuk dijangkakan dan tidak membawa sesuatu yang baharu, pada masa yang sama saya juga tidak merasakan mereka ingin menghasilkan sesuatu yang berat. Ia sekadar digunakan untuk mempunyai dialog dan membina serta memberi konteks yang baik untuk segala pertarungan yang berlaku. Saya boleh ibaratkan menonton WWE, terdapat serba sedikit penceritaan untuk menghasilkan permusuhan tetapi fokus utama sudah semestinya pertarungan mereka. Karl Urban juga membawa Johnny Cage dengan baik, memberi nafas baharu di dalam penceritaan, begitu juga dengan Kitana dan Jade yang membawa emosi ke dalam naskah ini, manakala watak lain sekadar membantu pergerakan plot sahaja dan tidak lebih daripada itu.

Bercakap mengenai pertarungan, ia dilakukan dengan memuaskan, fatality dilakukan dengan sangat ganas yang sudah semestinya memberi kejutan kepada penonton, kepelbagaian serangan juga mencukupi, tetapi mungkin Shao Kahn digunakan terlalu kerap berbanding memberi watak-watak lain daripada Outworld, sebaliknya dia bertarung di bahagian awal, pertengahan dan juga akhir yang membuatkan penglibatannya menjadi kurang menarik selepas itu. Tambahan lagi, beberapa watak yang sepatutnya di bahagian Outworld iaitu Kitana dan Jade, tidaklah sepenuhnya di bahagian tersebut memberi kekurangan tambahan kepada puak ini. Bahagian pertarungan tiada yang disunting keluar, tetapi syarat tangan masih lagi dikaburkan yang nampak ganjal tetapi masih boleh dianggap satu filem penuh tanpa sebarang suntingan.

Akhir kata, Mortal Kombat II menyedari tarikan utama untuknya iaitu pertarungan yang ganas dan filem ini berjaya memberikannya dengan sangat memuaskan, penceritaan mudah untuk dijangka dan tidaklah disampaikan dengan mendalam tetapi beberapa watak seperti Johnny Cage dan Kitana diberikan ruang untuk menyerlah dan serba sedikit memberikan watak menarik yang dikelilingi dengan watak generik. Ia satu filem yang mudah untuk dihargai oleh penonton tetapi bukan filem yang akan kekal di ingatan selepas bermulanya kredit.

Mortal Kombat II
Mortal Kombat II menyedari tarikan utama untuknya iaitu pertarungan yang ganas dan filem ini berjaya memberikannya dengan sangat memuaskan, penceritaan mudah untuk dijangka dan tidaklah disampaikan dengan mendalam tetapi beberapa watak seperti Johnny Cage dan Kitana diberikan ruang untuk menyerlah dan serba sedikit memberikan watak menarik yang dikelilingi watak generik.
Positif
Adegan pertarungan memuaskan
Johnny Cage dan Kitana
Negatif
Penceritaan biasa-biasa sahaja
7

Leave a Reply

Final Score