Kumpulan LEGO membawakan gelombang koleksi set baharu yang memfokuskan kepada semesta The Mandalorian sebagai persediaan untuk tayangan filem The Mandalorian & Grogu pada 22 Mei 2026. Barisan produk bagi tahun 2026 ini diketuai oleh set Ultimate Collector Series (UCS) 75442 The Mandalorian’s N-1 Starfighter yang ditawarkan pada harga RM1,049.90. Seiring dengan pelancaran produk tersebut, satu acara fizikal untuk peminat turut diadakan di Sunway Pyramid bermula 29 April hingga 10 Mei 2026.

Selain model UCS N-1 Starfighter, koleksi terkini menyertakan pelbagai kapal serta watak dari siri berkenaan. Set 75447 The Razor Crest ditawarkan pada harga RM649.90, manakala model 75445 Anzellan Starship berharga RM329.90. Untuk binaan watak, model 75446 Grogu yang merangkumi 1,200 kepingan bata LEGO dijual pada harga RM599.90. Pilihan model pameran bagi pengumpul dewasa juga diperluaskan dengan pengenalan 75439 Darth Vader Bust (RM219.90), 75438 Yoda Bust (RM169.90), dan 75440 AT-AT (RM299.90).
Ruang acara yang terletak di LG2 Orange Concourse, Sunway Pyramid menampilkan binaan berkonsepkan kubu Darth Vader, berserta model hologram Death Star bersaiz 6×6 kaki yang dibina sepenuhnya menggunakan LEGO. Pengunjung boleh berjalan melalui pameran ‘Hyperspace Tunnel’ yang menghimpunkan pelbagai set LEGO Star Wars daripada sejarah 27 tahun pengeluarannya. Beberapa model watak 3D seperti C-3PO, Kylo Ren, dan Chewbacca turut diletakkan di ruang pameran bersama dengan diorama pertempuran yang dibina oleh komuniti peminat.

Acara di pusat beli-belah ini turut melibatkan aktiviti interaktif, di mana kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah boleh menyertai sesi membina dan membawa pulang model mini LEGO Landspeeder. Dari segi penawaran eksklusif, pengunjung yang membelanjakan sekurang-kurangnya RM329 di acara tersebut berpeluang menerima topi atau bekas pensel khusus, manakala pembelian set N-1 Starfighter di tapak pameran membolehkan pembeli memiliki Syiling Grogu edisi terhad yang dikhususkan kepada 30 pelanggan terawal sahaja. Selain itu, peminat yang berjaya mencari individu berkostum Jedi di sekitar Sunway Pyramid pada tarikh 2-3 Mei dan 9-10 Mei berpeluang memenangi tiket The Mandalorian & Grogu.
Kempen promosi hadiah dengan pembelian turut dijalankan menerusi pelbagai saluran jualan rasmi dari 27 April hingga 31 Mei 2026. Perbelanjaan minimum sebanyak RM99 membolehkan pelanggan menebus poskad koleksi bertemakan Malaysia. Pembelian sebanyak RM189 di Kedai Diperakui LEGO dan LEGOLAND Malaysia menawarkan polibeg 30728 Razor Crest, manakala saluran runcit yang lain menawarkan set mini 30727 TIE Advanced. Bagi perbelanjaan RM765 dan ke atas, pelanggan layak menerima model eksklusif 40917 Dark Saber. Di platform edagang, potongan harga sehingga 30 peratus ditawarkan khusus pada kempen Lazada Super Brand Day yang dijadualkan berlangsung pada 12 Mei 2026.


