Penyanyi dan komposer dari Jepun, Eve, disahkan bakal kembali ke Malaysia untuk mengadakan persembahan selama dua malam di Zepp Kuala Lumpur pada 8 dan 9 Ogos 2026. Konsert ini merupakan sebahagian daripada siri penjelajahan Eve Zepp Tour 2026「廻帰, yang turut menandakan jelajah berformat ‘live house’ pertamanya dalam tempoh tujuh tahun.

Tiket konsert akan mula dijual pada 9 Mei 2026 bermula jam 11:00 pagi secara eksklusif melalui platform Book My Show. Harga tiket individu bermula daripada RM398 untuk kategori Cat 3 Seated, RM498 untuk Cat 2 Seated, dan RM568 bagi kategori Cat 1 Standing. Pihak penganjur turut menawarkan pilihan BOX Suite berkapasiti lapan orang pada harga RM4,800.

Bagi jadual persembahan, hari pertama pada 8 Ogos (Sabtu) akan membuka pintu pada jam 7:00 malam dengan konsert bermula pada 8:00 malam. Untuk hari kedua pada 9 Ogos (Ahad), acara bermula lebih awal dengan pintu dibuka pada 6:00 petang dan persembahan pada 7:00 malam. Penganjuran persembahan selama dua malam ini diputuskan bagi menampung kapasiti peminat tempatan selepas konsert satu malam beliau di Malaysia ketika Eve Asia Tour 2024 habis terjual. Beliau yang mula bergiat aktif sejak 2015 cukup sinonim dengan penghasilan lagu tema anime seperti “Kaikai Kitan” dan “Fight Song”.

Jelajah pada tahun 2026 ini akan membawakan tetapan ‘live house’ menggunakan sistem audio dan pencahayaan yang direka khusus, berserta kelengkapan jentera pentas yang baharu. Eve akan mempersembahkan senarai lagu yang telah dikemas kini merangkumi lagu-lagu popular dan karya khusus, selain diiringi oleh susunan kumpulan pemuzik yang lebih besar menerusi penambahan pemain saksofon.

Leave a Reply