Widow’s Bay merupakan siri yang akan mula disiarkan di Apple TV pada 29 April, ia adalah siri komedi seram yang dihasilkan oleh Katie Dippold. Beliau dikenali sebagai penulis untuk olahan semula Ghostbusters pada tahun 2016 dan juga Haunted Mansion pada tahun 2023, dua filem yang bagi saya bukanlah terbaik tetapi lain dengan Widow’s Bay yang bagi saya satu siri yang bukan sahaja menarik untuk ditonton tetapi juga satu siri yang mendalam dengan dunianya tersendiri. Berbanding menghasilkan sesuatu seperti Ghostbusters ataupun Haunted Mansion yang menjadikan komedi sebagai tarikan utama, siri ini menjadikan misteri sebagai perkara yang menarik minat saya untuk terus menonton episod seterusnya.

Siri ini memfokuskan kepada Tom Loftis lakonan Matthew Rhys yang merupakan datuk bandar bagi bandar Widow’s Bay iaitu sebuah bandar pulau yang terpencil. Dia ingin menukar Widow’s Bay untuk menjadi sebuah tempat pelancongan, tetapi di dalam usahanya tersebut, dia mula menyedari mengenai pelbagai sejarah hitam mengenai bandar tersebut yang membawa kepada pelbagai kejadian aneh. Dia cuba untuk “melawan” perkara aneh tersebut bersama dengan Patricia lakonan Kate O’Flynn, pekerjanya di pejabat datuk bandar dan juga Wyck penduduk tempatan yang tidak suka dengan Tom sebagai datuk bandar tetapi dia juga lebih berpengalaman mengenai sejarah bandar tersebut. Bersama mereka cuba untuk menyelesaikan masalah walaupun masing-masing tidak pasti apa yang menjadi lawan mereka.
Kekuatan utama siri ini adalah keserasian lakonan untuk tiga watak utama yang saya nyatakan di atas, setiap daripada mereka pada awalnya mempunyai sebab tersendiri untuk membenci satu sama lain, akan tetapi melihat dinamik mereka berubah dari awal hingga akhir siri merupakan satu perkara yang menyeronokkan kerana dilakukan dengan sangat berkesan oleh kesemua pelakon dan juga penulisan watak yang sangat baik membuatkan mereka tidak terasa watak satu dimensi. Pada masa yang sama, setiap watak ini juga diberi ruang untuk berkembang secara sendiri. Salah satu episod terbaik di dalam siri ini bagi saya apabila Patricia menjadi fokus dan diperlihatkan dengan lebih mendalam bagaimana perwatakannya hadir.

Selain daripada itu, saya juga menyukai bagaimana siri ini disampaikan, ia adalah siri dengan genre komedi dan seram akan tetapi ia tidaklah terlalu kedua-duanya. Komedi tidak disampaikan melalui jenaka, tetapi lebih kepada keadaan yang berlaku di dalam siri ini membuatkan saya ketawa. Contohnya, satu adegan yang agak menyentuh hati mengenai Tom Loftis dengan anaknya, sebelum ia beralih kepada adegan Patricia sedang menjerit melarikan diri, kedua-dua ini bukanlah perkara yang melucukan secara sendiri, akan tetapi apabila ia diletakkan bersama, ia bagaikan satu segmen komedi. Perkara ini dipersetujui oleh ketiga-tiga pelakon utama, semasa sesi temubual, mereka mengatakan yang skrip tidak cuba untuk menjadi komedi atau seram, dengan ia disampaikan secara biasa sahaja tetapi penonton yang akan merasa adegan-adegan ini lebih daripada biasa kerana penulisan yang baik.
Seperti saya nyatakan di atas, siri ini juga mendalam di dalam pembinaan dunianya. Misteri yang berlaku di pulau ini, bukan sahaja sekadar perkara yang menakutkan atau satu jenis hantu, sebaliknya setiap episod akan membawa ancaman berlainan daripada pelbagai trope seram yang popular, dan kesemua ini berpunca daripada satu kisah tambahan yang membawa kepada zaman awal penubuhan pulau tersebut. Kisah tambahan ini membantu di dalam menjadikan segala yang berlaku agak menarik dan tidak terasa sekadar pada permukaan sahaja. Dengan bagaimana siri ini berakhir, saya juga mengharapkan ia akan diteruskan untuk musim berikutnya kerana masih terdapat pelbagai penceritaan yang ingin disampaikan, ia juga agar menjengkelkan jika itu sahaja pengakhirannya.

Akhir kata, Widow’s Bay membawa satu kisah yang memenuhi kriteria untuk menjadi komedi ataupun seram akan tetapi ia tidak disampaikan untuk menjadi keterlaluan bagi kedua-dua genre tersebut, sebaliknya ia disampaikan dengan pelbagai dinamik penceritaan serta perwatakan yang menarik untuk memberikan pengalaman tontonan yang tidak membosankan, ini ditambah lagi dengan pembinaan dunia yang berkesan dengan pelbagai sejarah serta misteri yang menarik. Pengakhiran akan hadir dengan tanda tanya, oleh itu, saya berharap yang ia akan menerima musim seterusnya, jika tidak ia akan menjadi sedikit janggal sebagai satu pengakhiran.
Widow’s Bay akan mula disiarkan di Apple TV pada 29 April. Episod baharu tiba secara mingguan.


