Siri terbaharu, Widow’s Bay, bakal menemui penonton di Apple TV pada 29 April ini hasil sentuhan karya Katie Dippold. Dibarisi pelakon hebat, siri ini menampilkan Matthew Rhys sebagai Tom Loftis, Datuk Bandar di kepulauan misteri Widow’s Bay. Stephen Root pula menggalas watak Wyck, penduduk tempatan yang sudah lama menetap di sana dan kurang senang dengan kepimpinan Tom. Turut menjayakan siri ini ialah Kate O’Flynn yang melakonkan watak Patricia, pekerja di bawah pentadbiran Tom. Naratif siri ini memfokuskan kepada cita-cita Tom untuk menjadikan Widow’s Bay sebagai pusat pelancongan, dengan menutup mata terhadap rahsia gelap pulau tersebut yang mampu mengancam nyawa sesiapa sahaja di situ.

Dalam satu sesi temu bual, mereka telah berkongsi dengan lebih mendalam tentang siri tersebut serta watak masing-masing. Matthew Rhys, yang turut bertindak selaku penerbit eksekutif, menjelaskan bahawa keputusannya untuk memikul dua tanggungjawab ini didorong sepenuhnya oleh kekuatan skrip siri berkenaan. “Saya terus jatuh cinta dengan skrip-skrip ini,” jelas Rhys. Beliau menambah, peluang bekerjasama dengan pencipta siri, Katie Dippold dan pengarah, Hiro Murai adalah tawaran keemasan yang sukar ditolak. Rhys menyifatkan pengalaman itu sebagai “satu keluk pembelajaran yang hebat” dan berasa seolah-olah sedang menimba ilmu secara terus berbanding sekadar keluar bekerja.
Menyentuh tentang cara mengimbangi elemen komedi dan seram dalam siri ini, Stephen Root menekankan bahawa para pelakon lebih menumpukan kepada lakonan yang tulen dan realistik, berbanding hanya memfokuskan kepada genre tertentu. “Jika kita menjiwai mesej sebenar yang ingin disampaikan oleh skrip, hal itu tidak lagi menjadi masalah kerana kita melakonkan realiti situasi tersebut,” jelas Root. Beliau turut menyifatkan keupayaan sesuatu babak itu untuk diterjemahkan sebagai komedi atau seram adalah bukti kehebatan penulisan naskhah berkenaan. Kate O’Flynn turut senada dengan pandangan itu, sambil menambah bahawa nuansa emosi dalam siri ini melangkaui dua kategori terbabit. “Ia bukan sekadar seram dan komedi. Adakalanya ia cukup menyentuh perasaan, sangat menyakitkan, dan kadangkala mendamaikan, ia merangkumi pelbagai emosi,” kongsi O’Flynn yang menegaskan perjalanan setiap watak tidak hanya terikat pada definisi dua genre tersebut.

Selain itu, mereka juga berkongsi tentang dinamik kompleks melibatkan ketiga-tiga watak utama ini. Biarpun pada awalnya sering bertelagah, namun mereka terpaksa bersatu untuk berdepan dengan situasi menakutkan. Rhys sempat berseloroh, “Memang azab bekerja dengan mereka berdua… ia cukup memenatkan setiap hari.” Namun, beliau kembali serius dan menjelaskan bahawa ketiga-tiga watak itu sebenarnya memendam rasa sunyi yang mendalam. “Melihat mereka menemui keserasian antara satu sama lain adalah sesuatu yang cukup luar biasa,” kata Rhys. Root pula menegaskan bahawa ikatan yang terjalin antara mereka lahir daripada desakan untuk melawan ancaman yang lebih besar. “Pulau itu sendiri seolah-olah sebuah watak hidup dalam siri ini,” ujarnya. Menurut O’Flynn, watak Patricia pada asalnya berasa terasing dan tercari-cari haluannya sendiri. Justeru, penemuan persahabatan yang tidak dijangka ini merupakan “satu keterujaan yang sebenar” buat Patricia kerana dia akhirnya menemui satu kumpulan yang melibatkannya.
Sesi penggambaran siri ini turut memberikan cabaran fizikal dan mental tersendiri buat barisan pelakon. O’Flynn mengakui pengalaman menjiwai rasa takut yang sebenar agak membebankan emosinya. “Berlakon dalam ketakutan amatlah sukar. Terpaksa menjerit berulang kali… ia benar-benar mencabar,” luah beliau. Menyokong sentimen berkenaan, Rhys mengimbau kesan fizikal yang dihadapinya selepas merakamkan babak ketakutan ekstrem. “Memang rasa pening kepala. Saya masih ingat bagaimana saya termengah-mengah mengambil nafas,” cerita Rhys sambil tertawa. Bagi Root pula, detik mendebarkan baginya adalah ketika menjalani penggambaran di atas sebuah set bot yang digantung setinggi dua puluh kaki di udara. “Keadaan di atas sana agak menakutkan, apatah lagi apabila anda sedang melakonkan aksi pergaduhan atau babak lasak lain. Risiko untuk terjatuh itu sangat tinggi,” dedahnya. Rhys menambah, memandangkan set bot tersebut dipasang pada sebuah alat ‘gimbal’ untuk meniru pergerakan ombak laut yang sebenar, para pelakon sering kali mengalami mabuk laut selepas berlakon selama dua belas jam. Rhys menyifatkannya sebagai, “satu perasaan yang sangat aneh apabila pulang ke rumah dalam keadaan mabuk laut, sedangkan kami langsung tidak berada dekat dengan laut atau air.”

Barisan pelakon ini juga tidak lokek berkongsi mengenai inspirasi spesifik dan kadangkala melucukan yang dijadikan rujukan untuk menghidupkan watak masing-masing. O’Flynn terkenang satu nota unik yang diterimanya sewaktu proses uji bakat. “Mereka minta saya berikan ‘hanya sedikit elemen Shelley Duvall’ untuk salah satu babak,” seloroh O’Flynn. Menyedari pihak produksi mahukan bayangan filem klasik The Shining, beliau faham benar aura meresahkan yang dicari mereka. Bagi Rhys yang merupakan peminat tegar Jaws, beliau mengakui agak sukar baginya untuk tidak meniru gaya lurus bendul watak Datuk Bandar dalam filem ikonik tersebut. “Sejujurnya, saya mahu memakai jaket yang mempunyai corak sauh kecil (seperti dalam Jaws), tetapi malangnya permintaan itu ditolak,” kongsinya. Sementara itu, Root pula meluahkan rasa teruja apabila mendapat adegannya yang tersendiri, juga diinspirasikan daripada filem jerung klasik berkenaan. “Saya dapat momen ‘Robert Shaw’ saya sendiri di dalam bot itu. Ia memang cukup menyeronokkan!” kata Root, melengkapkan pengalaman produksi mereka yang jelas sarat dengan gelak tawa di sebalik tabir, sama sepertimana banyaknya adegan menjerit di hadapan kamera.


