Minggu keempat Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang diteruskan lagi dengan hari kedua yang memperlihatkan empat pasukan akan bermain perlawanan ketujuh mereka iaitu perlawanan terakhir bagi separuh pertama untuk musim ini, iaitu Selangor Red Giants, Team Vamos, RRQ Tora dan Bigetron MY.
Berikut adalah keputusan untuk hari kedua bagi minggu terakhir untuk separuh pertama musim ini:
Invictus Gaming Beri Cabaran Tetapi SRG Berjaya Catat Rekod 7-0 (2-1)

Perlawanan juara bertahan Selangor Red Giants bermula dengan satu kejutan apabila Invictus Gaming berjaya untuk mendapatkan kemenangan di pusingan pertama. Walaupun mereka tewas untuk dua pusingan seterusnya, perlawanan ini bukanlah satu perlawanan yang mudah bagi SRG, dengan iG benar-benar membuatkan mereka tidak selesa di ketiga-tiga pusingan ini. Namun, disiplin makro SRG tidak tercabar dan berjaya untuk mendapat kemenangan bagi memastikan mereka menuju ke separuh kedua tanpa kekalahan.
Team Rey Hentikan Momentum team Vamos (2-0)

Pertembungan di antara dua pasukan yang mempunyai momentum kemenangan ini memperlihatkan Team Rey berjaya untuk mendapat kemenangan yang penting bagi musim mereka. Strategi Team Rey hari ini sangat berkesan iaitu bermain secara agresif dari awal permainan lagi. Pusingan pertama Team Vamos tidak dapat untuk menahan kemaraan mereka, manakala pusingan kedua dengan sedikit kesilapan, Team Vamos mempunyai peluang untuk bangkit, akan tetapi dominasi awal Team Rey memastikan mereka pulang dengan kemenangan 2-0.
Bigetron MY Memberi Amaran Dengan Kalahkan RRQ Tora (2-0)

Mungkin menjadi kejutan terbesar pada minggu ini, Bigetron MY tidak mengulangi kesilapan kelmarin apabila memastikan mereka kekalkan momentum kemenangan selepas mendapat pusingan pertama. Kedua-dua pusingan bagaikan memberikan skrip yang sama, RRQ Tora terlebih dahulu tampak garang di awal permainan, tetapi pengawalan permainan yang sangat berdisplin oleh Bigetron berjaya untuk mereka bangkit dan mendapat kemenangan bersih ke atas pasukan senegara.
Hari kedua ini memberikan beberapa perkara yang menarik untuk dibawa ke minggu hadapan, Team Rey memastikan mereka berada di belakang SRG sebagai pasukan kedua, manakala Bigetron memperlihatkan kebangkitan mereka dan mengacah sesuatu yang lebih baik bagi bahagian kedua musim ini berbanding dengan gaya mereka bermula. Bagi Team Vamos dan RRQ Tora pula, mereka sudah semestinya ingin terus bangkit dan tidak menjadikan kekalahan hari ini sebagai noktah kemenangan.
Gambar: Moonton


