Minggu ini akan menandakan minggu terakhir untuk bahagian pertama bagi peringkat liga, dengan setiap pasukan akan bertemu dengan lawan ketujuh mereka sebelum mereka bertemu semula di minggu hadapan. Pada hari pertama ini, memperlihatkan dua pasukan yang ingin meneruskan momentum kemenangan mereka iaitu Team Vamos dan juga Selangor Red Giants bertemu dengan dua pasukan yang masih mencari rentak iaitu Bigetron MY by Vitality dan AC Esports.
Berikut adalah keputusan untuk hari pertama bagi minggu keempat ini:
Bigetron Terus Berputih Mata Bertemu Team Vamos (2-1)

Bigetron MY terlebih dahulu membuat kejutan apabila bukan sahaja menang pusingan pertama tetapi turut mendominasi pusingan tersebut, namun Team Vamos berjaya bangkit di pusingan kedua walaupun diberi tentangan yang agak sengit. Bagaikan membuatkan mereka “overthinking” selepas kekalahan di pusingan kedua, Bigetron bagaikan hilang arah di pusingan ketiga apabila Team Vamos berjaya untuk menang dengan sangat mudah dalam masa lebih kurang 10 minit sahaja.
SRG Tambah Luka Untuk AC Esports (2-0)

Tidak mengejutkan sesiapa, hari ini boleh dikatakan hari yang mudah untuk SRG apabila berjaya mengatasi AC Esports tanpa sebarang masalah. AC Esports memberi sedikit tentangan pada pusingan pertama untuk membawa perlawanan sehingga minit ke-16, akan tetapi pusingan kedua SRG memperlihatkan taring mereka dan berjaya untuk menamatkan perlawanan tersebut dengan masa 10 minit sahaja. SRG kini hanya perlu menang satu lagi perlawanan esok, untuk memberi rekod bersih 7-0.
Hari ini tidak membawa sebarang kejutan, selain daripada Bigetron memenangi satu pusingan, tetapi Team Vamos dan SRG yang masih mengekalkan momentum kemenangan ini sudah semestinya ingin teruskannya esok Team Vamos akan bertemu Team Rey manakala SRG bertemu dengan Invictus Gaming, dua perlawanan yang dijangkakan sengit.
Gambar: Moonton


