Apple hari ini mengumumkan kemas kini terbaru untuk barisan MacBook Air yang kini dikuasakan oleh cip pemprosesan M5. Perubahan paling ketara bagi pengguna adalah peningkatan kapasiti storan asas yang kini digandakan kepada 512GB (boleh dinaik taraf sehingga 4TB) berserta kelajuan membaca dan menulis SSD dua kali ganda lebih pantas berbanding generasi sebelumnya. Komputer riba ini ditawarkan untuk pasaran tempatan dengan harga bermula dari RM4,699.

Komputer riba tanpa kipas ini masih mengekalkan pilihan paparan Liquid Retina bersaiz 13.6-inci dan 15.3-inci dengan tahap kecerahan 500 nits. Dari segi prestasi, cip M5 dilengkapi dengan unit pemprosesan pusat (CPU) 10-teras dan unit pemprosesan grafik (GPU) sehingga 10-teras yang mempunyai pecutan neural terbina pada setiap teras. Apple menyatakan sistem baharu ini menawarkan lebar jalur memori pada 153GB/s peningkatan 28 peratus berbanding cip M4 dan mampu memproses tugas berkaitan Kecerdasan Buatan (AI) sehingga empat kali lebih pantas berbanding model M4. Cip ini juga menyokong enjin ray-tracing generasi ketiga untuk prestasi grafik yang lebih baik.
Untuk aspek ketersambungan, Apple memperkenalkan cip wireless N1 baharu yang membawakan sokongan terkini untuk Wi-Fi 7 dan Bluetooth 6. Peranti ini mengekalkan kabel pengecasan MagSafe dan menyediakan dua port Thunderbolt 4 yang kini mampu menyokong sehingga dua paparan luaran secara serentak. Sistem perkakasan lain turut menerima penambahbaikan, termasuk penggunaan kamera 12MP Center Stage yang menyokong fungsi Desk View, susunan tiga mikrofon untuk kejelasan suara, dan sistem audio yang menyokong Spatial Audio serta Dolby Atmos. Jangka hayat baterinya pula mampu bertahan sehingga 18 jam.

Dari sudut pembuatan, kerangka peranti ini menggunakan 100 peratus aluminium kitar semula, manakala baterinya menggunakan 100 peratus kobalt kitar semula, menyumbang kepada 55 peratus penggunaan bahan kitar semula secara keseluruhan bagi peranti ini.
Pra-tempahan akan dibuka tidak lama lagi melalui laman web rasmi Apple, aplikasi Apple Store, dan pengedar sah. Bagi model 13-inci, ia dijual pada harga RM4,699, manakala varian 15-inci bermula pada harga RM5,499. Kedua-dua saiz ini boleh didapati dalam empat pilihan warna: sky blue, midnight, starlight, dan silver.


