Dalam pasaran komputer riba gaming yang mempunyai pelbagai penawaran, Predator Triton 14 AI terbaru ini hadir dengan sasaran pengguna yang menarik, ia merupakan sebuah mesin berkuasa tinggi yang cuba mengimbangi keperluan permainan video tegar dengan tuntutan profesional kreatif. Dengan tanda harga RM12,999, ia bukan sekadar komputer riba permainan biasa, tetapi adakah ia berbaloi dengan pelaburan tersebut?
Reka Bentuk & Kualiti Binaan
Dari pandangan pertama, peranti ini tampil dengan reka bentuk yang anggun namun masih mengekalkan estetika “gamer” yang tersendiri. Ciri pencahayaan RGB pelbagai zon pada papan kekunci, serta dua jalur cahaya di kedua-dua sisi trackpad dan kipas di bahagian bawah, memberikan sentuhan yang mengekalkan status laptop ini sebagai ‘gaming laptop’. Namun, apabila kesemua lampu ini dipadamkan, ia serta-merta bertukar menjadi sebuah komputer riba profesional yang nampak kemas dan kelihatan professional untuk dibawa.

Dari segi mudah alih, beratnya hanya 1.6kg dengan profil yang nipis, menjadikannya antara komputer riba gaming paling mudah dibawa yang pernah saya uji. Engselnya kukuh dan stabil, boleh dibuka dengan sebelah tangan tanpa sebarang goyangan skrin yang ketara, walaupun semasa sesi menaip atau bermain permainan video secara agresif.

Untuk sambungan I/O, ia mempunyai port USB-C dan USB-A di kedua-dua belah kiri dan kanan, yang turut menyokong pengecasan USB-C. Walaupun ketiadaan port LAN dan kesemua port terletak di sisi (tiada di bahagian belakang), susun atur ini sudah memadai untuk kegunaan saya tetapi mungkin kurang mencukupi untuk pengguna-pengguna tertentu.
Paparan & Audio
Skrin 14-inci ini menggunakan panel OLED beresolusi 3K (2880 x 1880). Ketepatan warna sangat cemerlang dengan kecerahan yang baik, walaupun permukaan skrin agak memantulkan cahaya, terutamanya di bawah cahaya matahari terik atau tetapan kecerahan rendah.

Nisbah aspek 16:10 adalah satu kelebihan besar untuk produktiviti, memberikan ruang menegak yang lebih luas. Namun, untuk kandungan media dan permainan video, pengguna perlu membiasakan diri dengan bar hitam (black bars) tetapi dengan skrin menggunakan OLED, blackbar tersebut tidaklah terlalu mengganggu pemandangan.

Satu kekurangan yang agak ketara untuk tanda harga ini ialah kadar segar semula yang terhad kepada 120Hz tanpa sokongan VRR (Variable Refresh Rate). Walaupun resolusi tinggi menyukarkan permainan mencapai kadar bingkai melebihi 120FPS, ketiadaan ciri ini mungkin mengecewakan sesetengah peminat tegar. Pembesar suaranya sekadar memadai, ia cukup kuat, namun kurang jelas untuk penggunaan kritikal, jadi penggunaan fon kepala masih disarankan.
Peranti Input
Papan kekunci peranti ini memberikan pengalaman menaip yang sangat baik. Ia mempunyai jarak perjalanan kekunci yang selesa, berasa “clicky” namun senyap, sesuai untuk profil penggunaan pejabat yang tenang.

Trackpad bersaiz besar dan sangat tepat, ia juga boleh digunakan dengan stilus yang turut ditawarkan di dalam kotak untuk kegunaan profesional. Tambahan pada itu, skrin peranti juga menyokong sentuhan jari. Ini mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai mesin hibrid untuk pereka grafik atau animator profesional, walaupun saya tidak terlalu menggunakannya secara peribadi.
Prestasi
Dikuasakan oleh cip Intel Core Ultra 9 288V, RAM 32GB, dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070 (8GB VRAM), serta storan pantas 2TB SSD, spesifikasi di atas kertas kelihatan sangat meyakinkan.
Dalam ujian dunia sebenar, had VRAM 8GB sedikit membataskan potensi skrin 3K ini.
- Permainan Kompetitif: Walaupun tiada masalah menjalankan permainan ringan, had 120Hz bermakna ia mungkin bukan pilihan utama atlet e-sukan yang mementingkan kadar kelancaran yang lebih tinggi

- Permainan AAA: Ujian kami menggunakan Code Vein II pada tetapan tinggi dengan DLSS (Quality) mencatatkan purata 60FPS yang sudah cukup memuaskan terutama permainan ini mempunyai kawasan yang luas
- Begitu juga dengan Alan Wake 2 yang menunjukkan prestasi yang sangat baik dengan gabungan tetapan Medium/High, DLSS, dan Frame Generation, mencapai 120 FPS yang stabil dan gambar masih kelihatan sangat cantik, terutama dengan pencahayaan yang sangat penting di dalam permainan ini

Jelas sekali, untuk prestasi gaming maksimum, pengguna mungkin perlu menurunkan resolusi dengan menyambung ke monitor luar dengan resolusi 1080p.
Haba & Bateri
Pengurusan haba agak baik. Walaupun bahagian bawah skrin dan atas papan kekunci menjadi panas semasa bebanan tinggi, kawasan WASD kekal selesa. Kipas agak kedengaran semasa mod prestasi tinggi, namun amat senyap semasa penggunaan pejabat biasa.

Untuk ketahanan bateri, ia mampu bertahan sepanjang hari waktu bekerja untuk tugasan produktiviti ringan (melayari web, menulis), satu pencapaian yang baik untuk kelasnya. Pengecasan USB-C juga memudahkan urusan harian.
Kesimpulan
Dengan harga RM12,999, Acer Predator ini berada dalam kategori premium. Jika dinilai semata-mata dari sudut gaming, spesifikasi seperti VRAM 8GB dan skrin 120Hz mungkin satu kekurangan yang tidak patut diambil.

Walau bagaimanapun, nilai sebenar peranti ini terletak pada kepelbagaian kegunaannya. Ia menggabungkan pad sentuh yang cemerlang, sokongan stilus, skrin OLED berkualiti tinggi, dan sangat portable. Oleh itu, peranti ini bukan disasarkan untuk “gamer” semata-mata, tetapi lebih sesuai untuk profesional kreatif, seperti pereka grafik atau penyunting video yang memerlukan mesin kerja yang serius pada siang hari, dan mampu melayan hobi permainan video mereka pada waktu malam.


