Mitsui Shopping Park LaLaport Bukit Bintang City Centre (BBCC) kini sedang memeriahkan suasana akhir tahun dengan penganjuran acara khas bertemakan Pokémon, iaitu “LaLaport Pokémon Happy Holidays”. Acara ini sedang berlangsung dan akan berjalan sehingga 4 Januari 2026, menampilkan pelbagai aktiviti interaktif dan hiasan untuk pengunjung pelbagai peringkat umur.
Sepanjang tempoh acara, watak ikonik Pikachu menjadi tarikan utama. Pada setiap hujung minggu, peminat berpeluang untuk bertemu Pikachu secara dekat melalui sesi “Meet-and-Greet” serta penampilan santai di sekitar pusat beli-belah tersebut. Selain itu, pengunjung juga boleh bergambar di pelbagai lokasi foto Pokémon yang disediakan di seluruh kawasan pusat beli-belah.

LaLaport BBCC turut memperkenalkan aktiviti “Pokémon Hunting”. Pengunjung boleh menyertai pencarian pelekat di mana terdapat 40 jenis pelekat Pokémon berbeza untuk dikumpul sepanjang tempoh lima minggu. Buku koleksi pelekat boleh ditebus dengan perbelanjaan minimum RM10, dan pelekat boleh didapati di kedai-kedai yang mengambil bahagian.
Tambahan pula, pembelian barangan rasmi Pokémon di Main Atrium (Ground Floor) membolehkan pengunjung menerima poskad untuk mengumpul lima cop eksklusif secara percuma menerusi kaunter yang diletakkan di sekitar pusat beli-belah.

Bagi peminat permainan video dan mengumpul kad, acara ini menyediakan tutorial percuma untuk Kad Permainan Pokémon (Trading Card Game). Pengunjung juga boleh mencuba demo permainan Pokémon Legends: Z-A pada konsol Nintendo Switch 2.
Sempena musim perayaan, pertunjukan cahaya pokok Krismas bertemakan Pokémon akan diadakan setiap malam di WoW Plaza. Pengunjung yang berbelanja RM500 ke atas (maksimum 2 resit) layak menebus barangan eksklusif seperti lanyard, bekas minuman (tumbler), dan set beg pelancongan.
LaLaport BBCC juga baru sahaja memperkenalkan ACG Base, sebuah kawasan khusus untuk budaya pop, serta pembukaan pusat hiburan keluarga Molly Fantasy.


