Walaupun layak ke Kejohanan Dunia M7, pemain EXP Laner CG Esports, Ye3 (Muhammad Zamri), tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya selepas pasukannya tewas 0-4 kepada Selangor Red Giants OG Esports dalam Pusingan Akhir MPL Malaysia Musim 16.

Bercakap dalam temu bual pasca-perlawanan, Ye3 meluahkan kekecewaan yang mendalam, terutamanya terhadap prestasi dirinya sendiri.
“Kecewa sangat-sangat berat. Saya kecewa dengan diri sendiri yang paling banyak, sebab saya tak boleh buat lebih,” katanya.
Gagal Pecahkan Corak ‘Draft’ SRG
Mengulas lanjut mengenai punca kekalahan 0-4 dalam siri Best of 7 (Bo7) itu, Ye3 secara jujur mengakui bahawa pasukannya telah gagal dari segi persediaan, terutamanya dalam fasa ‘draft’.
“Kekalahan kami mungkin sebab kami tak boleh ‘break pattern’ (pecahkan corak) ‘draft’ SRG,” jelasnya. “Kami asyik termasuk dalam ‘game’ diorang.”
Perlawanan pertama berlangsung sengit sehingga 30 minit dan Ye3 mendedahkan bahawa beliau sentiasa positif pasukannya boleh menang.
“Sepanjang masa… saya positif boleh menang lagi, boleh menang, even though kita orang asyik mati-mati,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa dalam pusingan pertama, strategi mereka hampir membuahkan hasil.
“First game kita orang dapat break pattern. Kita ‘force’ SRG pergi ice box… dan kita force Stormy main hero yang berat, hero yang tak boleh kacau early game,” dedah Ye3 mengenai rancangan awal mereka.

Namun, momentum itu gagal diteruskan. Apabila ditanya mengenai pusingan kedua dan ketiga di mana SRG mula mendominasi, Ye3 mengaitkannya kembali kepada kegagalan memecahkan ‘draft’.
Beliau mengakui bahawa bermula pusingan kedua, CG Esports tidak lagi dapat mengulangi kejayaan kecil pada pusingan pertama dan mula “termasuk” ke dalam corak permainan yang diinginkan oleh SRG.
Kegagalan itu berterusan sehingga ke pusingan keempat. Walaupun perlawanan kembali sengit, Ye3 menyatakan puncanya tetap sama.
“Game 4 tadi kita orang ‘still’ tak dapat pecahkan ‘draft pattern’ diorang, and kita orang ‘still’ main dalam ‘game’ diorang,” katanya.
“Jadi diorang akan dominasi. Even though kalau kita orang main sehabis yang mungkin, it’s hard ah untuk menang,” akui Ye3.
Beliau turut memuji kepantasan SRG membuat keputusan. “Decision making SRG lagi cepat… saya ‘respect’ diorang… ‘game’ ini, siapa lebih tajam, lebih pantas, dia menang.”
Janji M7: “Saya Akan Buktikan”
Meskipun tidak berjaya di Peringkat Akhir, perjuangan CG Esports belum berakhir kerana mereka akan membawa cabaran Malaysia ke M7. Ye3 berjanji akan belajar dari kekalahan ini.
“Harapan (di M7), mungkin kita orang akan jadi pencabar sebab kita orang akan ‘training’ lagi. Kalah ini kita orang akan belajar sesuatu untuk jadi lagi bagus untuk M7 nanti,” ujarnya.
“Saya akan buktikan, saya janji. Saya yakin dengan pasukan saya… cuma kita orang perlu mengambil persediaan yang lebih banyak lagi.”
Beliau menambah, pasukannya perlu menambah “lebih banyak hero, lebih banyak ‘draft’,” dan mengurangkan sikap terlalu memikirkan corak ‘draft’ lawan (overthinking).

Minta Maaf dan “Trust the Process”
Mengenai masa depan pasukan, Ye3 yang menganggap ini adalah musim keduanya bersama skuad itu—percaya mereka boleh mencabar SRG jika kekal bersama.
“Tahun depan kalau ‘stay’ lagi mungkin boleh, and we trust the process macam tiga musim, so mungkin boleh, Insya-Allah boleh,” katanya.
Sebagai penutup, Ye3 menzahirkan kata maaf kepada para penyokong yang hadir.
“Untuk peminat, minta maaf banyak-banyak, dan sorry tak dapat lagi yang terbaik untuk final ini even though 0-4. ‘Sorry’ sangat-sangat. Dekat mak ayah pun minta maaf. Dan M7… kitaorang akan buktikan,” janjinya.


