Setiap minggu terdapat pelbagai permainan menarik yang dilancarkan, tidak kira permainan AAA ataupun permainan indie. Selain itu, terdapat juga pelbagai DLC dan penambahan yang dilancarkan untuk permainan sedia ada. Oleh itu, melalui segmen ini, kami akan kongsikan lima permainan dan penambahan menarik yang dilancarkan sepanjang minggu ini.

Elden Ring Nightreign

Platform: PlayStation, Xbox, PC

Bagi yang merindui ataupun mencari alasan untuk kembali memperlihatkan kemahiran bermain Elden Ring, kini boleh melakukan melalui permainan sampingan baharu berdasarkan dunia Elden Ring iaitu Nightreign. Sebagai permainan sampingan, ia menawarkan satu pengalaman berbeza untuk pemain, iaitu dengan menyertakan elemen roguelite yang memfokuskan kepada sesi permainan secara koperasi. Dengan pelbagai kelas yang boleh digunakan, ia sudah semestinya membawa pengalaman baharu untuk pemain veteran dan pemain baharu.

EA Sports F1 25

Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC

Kehangatan bermulanya musim baharu untuk F1, diteruskan lagi dengan pelancaran permainan terbaru untuknya. Breaking Point akan kembali untuk kali ketiga bagi tahun ini dengan penceritaan serba baharu. Selain itu, MyTeam juga akan dipertingkatkan untuk memberikan pemain peluang untuk menghasilkan penceritaan F1 tersendiri. Ini juga akan menjadi permainan pertama, legenda dunia F1 Lewis Hamilton bersama dengan pasukan baharu iaitu Ferrari.

Fuge: Melodies of Steel 3

Platform: PlayStation, Xbox, Nintendo Switch, PC

Permainan keenam bagi siri Little Tail Bronx dan permainan ketiga untuk siri Fuga menjanjikan kandungan dua kali lebih banyak berbanding permainan sebelum ini dan juga berganda ilustrasi yang ada yang sudah semestinya diinginkan oleh pengikut permainan ini. Bagi pemain baharu, ia merupakan permainan RPG taktikal dengan pertempuran adalah berdasarkan mecha yang digunakan. Ia juga menyertakan penceritaan yang mendalam.

Disney Illusions Island

Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC

Dilancarkan untuk Nintendo Switch pada tahun 2023, Disney Illusion Island kini tiba untuk lebih banyak platform. IA merupakan permainan 2D side-scrolling platformer dengan elemen metroidvania. Pemain boleh memilih salah seorang daripada watak-watak Disney seperti Mickey Mouse, Minnie Mouse, Donald Duck atau Goofy dan perlu melalui pelbagai halangan dan juga pertempuran untuk menyelesaikan pelbagai peringkat yang dihasilkan dengan menarik.

Pipistrello and the Cursed Yoyo

Platform: PlayStation, Xbox, Nintendo Switch, PC

Permainan pengembaraan platformer ini ingin membawa pemain ke zaman-zaman Game Boy Advance dengan tatamain jelas mengambil inspirasi daripada zaman tersebut, tetapi ia masih menyertakan pelbagai elemen tersendiri untuk memberikan sesi permainan yang menarik. Pemain melakukan serangan menggunakan yoyo yang juga boleh dipasang dengan pelbagai kuasa yang berbeza.

Leave a Reply