EA telah mengumumkan yang EA SPORTS FC 27 akan dilancarkan secara rasmi pada 25 September untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Nintendo Switch dan PC. Mereka juga mengumumkan sistem corak permainan yang dikemas kini, pengenalan mod baharu, serta penstrukturan semula Mod Karier.

Bagi tatamain, permainan ini menyertakan perubahan teknikal yang spesifik pada mekanik pertahanan dan serangan. Sistem pertahanan kini mengintegrasikan keseimbangan semula AI, kelebihan kawalan, dan julat pertahanan yang diperluas. Bagi fungsi serangan pula, mekanik baharu seperti pengelakan ofsaid, hantar dan ikut, larian ke dalam melengkung, serta hantaran satu-dua yang lebih pantas telah ditambah untuk memberi lebih kawalan taktikal.

Fungsi set piece turut diubah melalui sistem sepakan sudut dua fasa. Sistem baharu ini membenarkan pemain menukar pengambil sepakan, memanggil pemain kedua secara manual, dan mengawal paparan tindanan taktik secara terus di atas padang.

Di luar padang stadium, EA SPORTS FC 27 memperkenalkan sebuah lokasi komersial dan jalanan yang dikenali sebagai The Grounds. Ruang ini merangkumi pelbagai daerah berbeza seperti Parkside District, Montclair District, dan Zeiza District. Watak dari siri terdahulu, Alex Hunter, kembali ditampilkan di dalam permainan ini dengan peranan sebagai mentor di The Grounds, serta dilihat berinteraksi dengan pemain bola sepak seperti Kylian Mbappé yang juga menghiasi muka depan permainan ini.

Bagi Mod Karier, pembangun telah melaksanakan rombakan sistem perpindahan. Ia juga disertakan dengan sistem OVR Dinamik yang membolehkan nilai keseluruhan pemain berubah ke arah positif atau negatif berdasarkan tahap prestasi semasa mereka di dalam permainan. Sementara itu, mod popular Football Ultimate Team (FUT) menerima penambahan antaramuka baharu melalui FUT Gallery.

Pra-tempahan untuk EA SPORTS FC 27 kini dibuka. EA Sports turut menawarkan Edisi Ultimate Plus dalam tempoh yang terhad sehingga 31 Ogos 2026. Edisi ini menyertakan akses awal ke dalam permainan sehingga tujuh hari, 10,000 Mata FC yang diberikan secara berperingkat setiap bulan, pemain Ikon Antarabangsa 85+ OVR, pilihan pemain Hall of FUT, slot tambahan Evolusi Pemain FUT, dan Pas Premium untuk Musim 1 hingga 5.

Leave a Reply