Call of Duty: Modern Warfare 4 bakal memperkenalkan Kill Block, sebuah medan tempur Multiplayer modular yang akan mengubah konfigurasi susun aturnya pada setiap perlawanan. Sistem peta dinamik ini menawarkan lebih daripada 500 variasi susun atur bagi memastikan setiap sesi permainan memberikan cabaran laluan dan sudut penglihatan yang berbeza kepada pemain.

Berlatarkan kemudahan latihan ketenteraan West Bridge, kawasan permainan Kill Block dibahagikan kepada tiga bahagian utama yang dikenali sebagai “Slab”, melibatkan dua End Slab pada bahagian luar dan satu Central Slab di bahagian tengah. Gabungan ketiga-tiga komponen ini membentuk satu peta penuh bergelar “Combo” yang mempunyai saiz keluasan keseluruhan menyamai peta Shoot House daripada Modern Warfare (2019). Secara teknikal, setiap Slab dibina menggunakan struktur kontena, dinding konkrit, dan fasad bangunan mini yang digerakkan secara fizikal menggunakan motor elektrik serta rangkaian rel, termasuk keupayaan untuk diturunkan ke ruang storan bawah tanah bagi digantikan dengan reka bentuk baharu sebelum perlawanan bermula.

Selain menampilkan rekaan kawasan yang baharu, sistem modular ini turut mengitar semula lokasi ikonik daripada siri terdahulu untuk diadun semula ke dalam konfigurasi rawak. Antara kawasan yang disahkan kembali adalah peta Crash daripada Call of Duty 4: Modern Warfare, Storage Town daripada Call of Duty: Warzone, dan Shoot House. Tahap kesukaran permainan juga ditingkatkan melalui integrasi sistem simulasi cuaca pada Slab tertentu, di mana ribut salji atau hujan boleh diaktifkan secara tiba-tiba untuk menjejaskan jarak penglihatan serta meninggalkan kesan fizikal seperti lapisan ais pada senjata.

Semasa pelancaran, Kill Block dibina khusus untuk menyokong mod Gunfight 3v3 dan mod baharu Gunfight 10v10. Di dalam mod Gunfight, susun atur Slab akan berubah secara automatik pada setiap dua pusingan bersama dengan pertukaran set senjata rawak yang sama untuk kesemua pemain. Corak perubahan ini akan berterusan sehingga salah satu pasukan berjaya mencapai enam kemenangan pusingan. Pihak pembangun juga merancang untuk memperluaskan fungsi struktur modular ini bagi menyokong mod Core Multiplayer lain pada musim-musim akan datang selepas pelancaran.

Peta Kill Block kini boleh diuji buat pertama kali oleh orang awam sempena acara Fanatics Fest NYC yang berlangsung dari 16 hingga 19 Julai. Call of Duty: Modern Warfare 4 dijadualkan menemui pemain secara rasmi pada 23 Oktober 2026 untuk platform PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch 2, dan PC (melalui Battle.net, Xbox on PC, serta Steam).

Leave a Reply