Permainan indie terbaharu terbitan Fireshine Games dan pembangun Undercoders, Denshattack!, kini dilancarkan secara rasmi. Permainan ini dilancarkan untuk platform PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch 2, dan PC.
Bagi meraikan pelancarannya, pemain di platform PC menerusi Steam ditawarkan diskaun sebanyak 10% untuk tempoh dua minggu pertama. Sementara itu, pembeli di platform konsol dalam tempoh dua minggu ini akan menerima pek kosmetik seasonal train skin pack serta kosmetik bonus eksklusif yang direka khas mengikut platform pembelian masing-masing.



Denshattack! membawakan jalan cerita bertemakan masa depan dystopia di Jepun, di mana golongan elit hidup di dalam kubah penapis udara yang tersasar daripada runtuhan bandar, manakala kawasan luar dikuasai oleh kumpulan kongsi gelap. Pemain perlu mengawal pemandu kereta api akrobatik untuk menewaskan kumpulan saingan, menumbangkan syarikat korporat gergasi, dan mendaki carta kedudukan untuk menjadi pemandu terbaik.
Permainan ini memfokuskan kepada aspek kelajuan serta kemahiran mengendalikan kereta api di atas landasan secara ekstrem. Pembangun menyediakan lebih daripada 60 peringkat yang mengandungi pelbagai variasi misi termasuk perlumbaan, aksi gaya bebas (tricking), dan pertempuran dengan bos (boss fights).
Menurut Pengarah Permainan, David Jaumandreu, visual dan reka bentuk watak di dalam projek ini dipengaruhi oleh gaya estetika era Y2K serta karya-karya popular seperti Jet Set Radio, One Piece, dan JoJo’s Bizarre Adventure.
Pelancaran permainan ini turut diiringi dengan video memperlihatkan mekanik permainan terbaharu yang menggunakan lagu tema khas bertajuk “THE DO DO DO’s TRAIN-A-GO-GO!”. Album runut bunyi rasmi kini sudah mula dijual di Steam dan boleh didengar melalui platform penstriman digital terpilih di bawah edaran label Kid Katana Records.
Muzik latar bagi permainan ini mendapat sumbangan daripada barisan komposer terkenal dalam industri permainan video, termasuk:
- Tee Lopes (Sonic Mania, TMNT Shredder’s Revenge)
- Ryo Nagamatsu (siri Splatoon, siri Mario Kart)
- Richard Jacques (siri Jet Set Radio, Marvel’s Guardians of the Galaxy)
- Takenobu Mitsuyoshi (Daytona USA, Sega Rally Championship)
Maklumat lanjut mengenai kandungan dan penawaran terbaharu ini boleh didapati menerusi laman web rasmi di denshattack.com.


