NetEase Games dan Marvel Games bakal melancarkan Musim 9 untuk Marvel Rivals yang bertajuk “The Mystery of Thebes” pada 10 Julai 2026. Permainan bergenre Super Hero Team-Based PVP Shooter ini akan menerima kemas kini besar-besaran yang merangkumi pengenalan watak baharu, mod permainan, peta, serta rombakan mekanik permainan.

Jubilee akan menyertai senarai watak pada permulaan Musim 9 sebagai Strategist. Watak ini menggunakan percikan bunga api dan plasmoid tenaga untuk menyembuhkan rakan sepasukan, di samping memberikan kerosakan serta membutakan pihak musuh. Kebolehan Ultimate Ability miliknya pula akan melepaskan pertunjukan bunga api di medan pertempuran. Selepas pengenalan Jubilee, watak The Hood dijadualkan menyusul pada bulan Ogos menerusi kemas kini Musim 9.5.
Kemas kini kali ini turut membawakan perubahan struktur utama melalui rombakan sistem Team-Up untuk keseluruhan watak. Setiap hero kini akan memiliki dua pilihan ‘loadout’ Team-Up Ability yang dilengkapi dengan ‘Base Effect’ dan ‘Enhanced Effect’. Beberapa gabungan klasik seperti Metallic Chaos juga akan dikembalikan ke dalam permainan. Selain itu, watak Black Widow menerima rombakan sepenuhnya terhadap keseluruhan pusingan mekanik pertempuran miliknya.
Bagi kandungan peta dan mod permainan, peta Convoy baharu bernama Thebes akan diaktifkan secara rasmi selepas kemas kini pada 23 Julai. Seterusnya, mod permainan baharu iaitu Path to Doomsday – Avengers: Age of Ultron akan dilancarkan pada 30 Julai. Mod ini menempatkan pemain di dalam Avengers Tower dan Ultron’s Data Space untuk bertempur menentang Ultron bersama tentera mekanikalnya, seiring dengan pelancaran siri acara di lobi Times Square.
Di samping pengenalan kandungan dalam talian, kejohanan esukan Marvel Rivals Ignite Series Mid-Season Finals akan berlangsung secara fizikal di WePlay Studios, Los Angeles dari 29 Julai hingga 1 Ogos 2026. Kejohanan ini mengumpulkan 10 pasukan terbaik dari empat rantau global untuk bersaing merebut gelaran World Championship pertama bagi tahun kompetitif ini.


