New One Studio merupakan pembangun di sebalik The Invisible Guardian yang pernah menerima pengiktirafan BAFTA, serta siri permainan video interaktif Full Motion Video (FMV), Road to Empress I dan II. Judul terbaharu mereka, Road to Empress II, telah berjaya melepasi jualan sebanyak dua juta unit di seluruh dunia merentasi pelbagai platform dalam masa 12 hari selepas pelancarannya.

Menerusi satu sesi temubual eksklusif, Demi, Penerbit Road to Empress, membincangkan metodologi studio tersebut dalam mengimbangi cabang naratif, kebebasan pemain, dan landskap penceritaan interaktif yang sentiasa berkembang.

Peralihan Fokus Naratif

Kejayaan jualan yang luar biasa ini sebahagian besarnya didorong oleh pemahaman New One Studio yang sentiasa berevolusi terhadap penceritaan interaktif sebagai sebuah medium.

“Dari The Invisible Guardian sehinggalah Road to Empress I dan II, kami kekal komited terhadap pengalaman sinematik interaktif, namun pemahaman kami tentang apa yang mampu dicapai menerusinya terus berkembang,” jelas Demi.

Pada peringkat awal pembangunan, studio tersebut meneroka bagaimana penceritaan sinematik boleh diinteraksikan, namun kini pemahaman itu telah berubah secara fundamental. Fokus mereka beralih daripada mempersoalkan bagaimana pilihan mengubah sesebuah cerita kepada bagaimana pilihan tersebut membentuk pengalaman pemain terhadap cerita itu. Transformasi ini bertujuan untuk mencipta rasa penyertaan yang lebih kukuh di samping mengekalkan kedalaman emosi dan ekspresi sinematik.

Menangani Stigma FMV dan Memperluas Interaktiviti

Walaupun pemahaman dalaman studio mengenai medium ini telah berkembang, luaran industri masih bergelut dengan stigma. Terdapat persepsi dalam kalangan segelintir pemain tradisional bahawa permainan FMV interaktif hanyalah sekadar filem yang didatangkan dengan butang jeda.

Demi mengakui kritikan ini sering berlaku kerana pengalaman sinematik interaktif lazimnya dibincangkan terutamanya melalui lensa penceritaan semata-mata. “Bagi kami, interaktiviti bukanlah sekadar menyisipkan pilihan ke dalam sesebuah filem, sebaliknya ia adalah tentang mengubah hubungan pemain dengan cerita tersebut,” kata Demi.

Bagi memecahkan stigma ini di dalam Road to Empress II, pihak studio telah memperkenalkan rantaian kesan jangka panjang (consequence chains). Impak daripada keputusan-keputusan tertentu mungkin tidak kelihatan serta-merta, sebaliknya ia hanya akan muncul selepas beberapa pilihan dibuat melalui perubahan hubungan watak, perspektif baharu, atau anjakan dalam keseluruhan pengalaman bermain. Permainan ini turut menampilkan pengalaman sampingan pilihan seperti Memorial Reviews dan Imperial Edicts , yang menawarkan kaedah alternatif kepada pemain untuk merasai kehidupan di pusat pemerintahan empayar dari pelbagai sudut pandang tanpa mengubah laluan cerita teras.

Cabaran Produksi dan Kesinambungan Emosi

Usaha untuk merealisasikan visi interaktiviti yang lebih mendalam ini membawa terus kepada cabaran teknikal dan lakonan yang sangat besar. New One Studio kini perlu menguruskan kira-kira 1,000 minit rakaman 4K aksi nyata baharu dengan naratif yang bercabang-cabang.

Dari perspektif naratif, Demi menjelaskan bahawa kuncinya adalah untuk mengekalkan asas emosi yang kuat merentasi semua cabang jalan cerita. Pihak studio mengendalikan cabang-cabang ini bukan sebagai jalan cerita yang bercanggah, tetapi sebagai sebuah penerokaan terhadap pelbagai kesudahan di dalam satu dunia yang kohesif yang mencerminkan niat dan perjalanan pemain.

Memandangkan pengalaman permainan ini banyak bergantung kepada pandangan pertama (first-person), para pelakon dikehendaki melakonkan watak secara langsung ke arah pemain untuk membina hubungan emosi melalui lensa kamera. Oleh kerana pilihan yang berbeza membawa kepada konteks yang jauh berbeza, para pelakon terpaksa bertukar kepada emosi yang bertentangan dengan tepat sambil tetap mengekalkan kesinambungan watak. Demi menyifatkan tahap kawalan emosi ini sebagai salah satu fasa yang paling mencabar serta memberikan kepuasan yang tinggi dalam proses produksi.

Peluasan Platform dan Hala Tuju Masa Depan

Bagi memastikan permainan dan pengalaman emosi ini dapat dicapai oleh lebih ramai pemain, New One Studio telah menjalinkan kerjasama dengan SEGA untuk membawa siri ini ke Nintendo Switch. Walaupun peralihan ke konsol khusus memperkenalkan corak interaksi dan jangkaan pemain yang berbeza, pihak studio melihat penyesuaian ini sebagai satu bentuk penambahbaikan dari segi keboleh-capaian dan rentak permainan tanpa mengubah fokus teras mereka.

Selain itu, mereka juga tidak menolak untuk melancarkan permainan mereka di platform penstriman seperti Netflix dan WeTV. Memandangkan format studio ini secara semula jadi berada di persimpangan antara filem dan permainan video, adaptasi ke perkhidmatan penstriman dilihat sebagai satu potensi yang besar. Demi menyatakan bahawa platform penstriman merupakan satu arah tuju yang menarik, terutamanya kerana penonton kini semakin selesa dengan kandungan interaktif dalam tontonan harian mereka, lantas membuka ruang untuk penglibatan yang lebih kasual.

Pada masa ini, keutamaan studio adalah untuk mengumpul maklum balas pemain bagi Road to Empress II untuk membantu menentukan hala tuju kreatif mereka pada masa hadapan. “Walaupun Road to Empress membawakan sebuah dunia fiksyen, kami berharap dapat terus membangunkan pengalaman penceritaan interaktif merentasi pelbagai latar masa dan genre cerita yang pelbagai pada masa hadapan,” simpul Demi.

Leave a Reply