Wargaming telah mengumumkan pelancaran kandungan musim pertama untuk permainan World of Tanks: Heat dengan judul “Lost Eden”. Bermula 1 Julai, kemas kini ini boleh diakses oleh pemain di platform PlayStation 5, Xbox Series, dan PC dengan membawa pengenalan watak Ejen baharu, dua kereta kebal, peta pertempuran, serta sistem Battle Pass.

Musim ini membawakan Flair, seorang Ejen kelas Marksman yang memiliki kepakaran dalam aspek penyamaran dan taktik memperdaya musuh. Flair dilengkapi dengan kebolehan pasif ‘Signature Masking’ yang memastikannya tidak dikesan oleh sistem sasaran musuh. Kebolehan Ultimate miliknya, ‘Echo Proxy’, membolehkan pemain mengawal kenderaan pendua untuk mengelirukan pihak lawan serta melancarkan serang hendap.

Bersama-sama kehadiran Ejen ini, dua tank turut diperkenalkan dan boleh didapati secara percuma melalui Battle Pass:

  • Leopard 2FK yang dilengkapi pelancar ATGM mempunyai kebolehan ‘Feign Death’ untuk menyamar sebagai bangkai kenderaan yang bergerak, selain fungsi ‘Electro-Optical Jammers’ untuk mengurangkan ketepatan sasaran musuh
  • Leopard 2KST yang menggunakan sistem autoloader pula hadir dengan ‘Active Camo’ untuk mengelak daripada dikesan, serta ‘EMP Trap’ yang berfungsi merosakkan dan memperlahankan pergerakan musuh di kawasan tertentu

Medan pertempuran dalam musim ini beralih ke New Eden, sebuah peta padang pasir luas yang dibina di kawasan bekas projek mega pertanian. Peta ini dipenuhi dengan struktur biodome besar serta kemudahan penyelidikan terbiar yang menyediakan perlindungan, sekali gus menyokong kedua-dua corak pertempuran jarak jauh dan jarak dekat.

Sistem Battle Pass bagi musim ini berjalan dari 1 Julai hingga 2 September, di mana semua ganjaran boleh diperoleh secara percuma melalui permainan biasa. Pemain juga ditawarkan pilihan untuk membeli Premium Battle Pass pada harga 1000 HEAT-Coins yang membenarkan ganjaran dibuka tanpa mengikut urutan.

Wargaming turut merancang untuk melancarkan kemas kini QoL pada pertengahan Julai ini. Kemas kini tersebut akan memperkenalkan beberapa fungsi yang diminta oleh komuniti, termasuk kebolehan pandu uji bagi mana-mana kenderaan sebelum pembelian dilakukan, peningkatan ganjaran Credits untuk semua pemain, serta pilihan untuk menutup paparan sinematik bagi kebolehan Ultimate.

Leave a Reply