Selepas sedekad tidak berada di platform tersebut, siri drama sci-fi Heroes kini kembali ditayangkan di Netflix bermula hari ini, 1 Julai 2026. Penambahan ini merangkumi kesemua 77 episod daripada empat musim asal yang pernah disiarkan menerusi rangkaian NBC dari tahun 2006 hingga 2010.
Penonton kini boleh mengakses siri tersebut di Netflix akan tetapi siri mini lanjutan yang diterbitkan pada tahun 2015, Heroes Reborn, tidak disertakan bersama.
Dicipta oleh Tim Kring, Heroes akan menyambut ulang tahun ke-20 tayangan perdananya pada September tahun ini. Jalan cerita siri ini memfokuskan kepada sekumpulan manusia biasa yang tiba-tiba menyedari mereka memiliki kebolehan luar biasa. Mereka kemudiannya perlu mencari antara satu sama lain untuk menghalang pelbagai ancaman yang mampu memusnahkan masa depan umat manusia.
Siri ini menampilkan barisan pelakon seperti Hayden Panettiere, Milo Ventimiglia, Greg Grunberg, Masi Oka, Ali Larter, dan Adrian Pasdar.


