CD PROJEKT RED telah mengumumkan bahawa siri anime Cyberpunk: Edgerunners 2 akan mula ditayangkan secara eksklusif di platform Netflix pada musim luruh 2026. Pengumuman ini dibuat bersekali dengan pelancaran treler baharu.

Siri terbaharu ini membawakan jalan cerita berasingan yang memfokuskan kepada barisan watak yang sepenuhnya baharu. Berlatarkan Night City, lokasi yang sama bagi permainan video Cyberpunk 2077, Cyberpunk: Edgerunners 2 akan menerokai sudut gelap kota metropolis distopia tersebut serta memperincikan kehidupan sebagai seorang ‘edgerunner’.

Penerbitan siri ini mengekalkan kerjasama antara CD PROJEKT RED dan studio animasi Jepun, TRIGGER. Kai Ikarashi menggalas tanggungjawab sebagai pengarah, manakala Ichigo Kanno mengendalikan reka bentuk watak. Penceritaan siri pula ditulis oleh Bartosz Sztybor dari CD PROJEKT RED bersama Masahiko Otsuka. Ilustrasi utama bagi promosi anime ini dihasilkan oleh Ichigo Kanno, dengan seliaan dakwat dan warna oleh Yukiko Kakita serta komposisi oleh Yuichiroh Tozawa.

Bagi aspek audio, lagu tema yang dimuatkan dalam treler terbaharu bertajuk “You Can’t Run From Me” nyanyian Rico Nasty kini sudah tersedia di semua platform penstriman muzik utama. Lagu tersebut ditulis secara eksklusif untuk siri anime ini.

CD PROJEKT RED juga dijadualkan menghadiri acara Anime Expo di Los Angeles yang berlangsung dari 2 hingga 5 Julai 2026. Pada hari kedua acara iaitu 3 Julai, satu sesi panel khas akan diadakan untuk membincangkan siri ini. Pengunjung yang hadir ke panel tersebut berpeluang menyaksikan tayangan eksklusif episod pertama Cyberpunk: Edgerunners 2, yang mana tayangan berkenaan tidak akan dirakam atau disiarkan secara dalam talian.

Sesi panel itu akan dihadiri oleh barisan pencipta siri termasuk showrunner Bartosz Sztybor, penerbit eksekutif Saya Elder, pengarah Kai Ikarashi, serta pelakon suara Nazeeh Tarsha yang memegang watak bernama D. Sesi perbincangan tersebut akan dikendalikan oleh pencipta kandungan Danny Motta.

Leave a Reply