Pasukan Johor secara rasmi merangkul gelaran juara kejohanan Honor of Kings State ONZ selepas menewaskan pasukan Negeri Sembilan dalam perlawanan Grand Final yang berlangsung di Orange Café, Quill City Mall baru-baru ini.
Kemenangan Johor disahkan menerusi format perlawanan Best of 5 (BO5) yang menyaksikan Negeri Sembilan akur di tempat kedua. Sebelum melangkah ke peringkat penentu tersebut, pusingan separuh akhir terlebih dahulu menyaksikan pertembungan sengit antara Selangor melawan Negeri Sembilan, serta Perak menentang Johor.

Kejohanan komuniti peringkat nasional ini telah mengumpulkan lebih 11 ribu pemain dari seluruh Malaysia untuk merebut sebahagian daripada jumlah hadiah terkumpul bernilai RM12 ribu. Pusingan kelayakan dalam talian telah dijalankan bermula 8 hingga 21 Jun 2026, manakala perlawanan separuh akhir dan Grand Final secara fizikal berlangsung pada 27 dan 28 Jun 2026.


Sistem pertandingan ini membahagikan peserta kepada empat wilayah utama iaitu Wilayah Timur & Borneo (Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, Sarawak), Wilayah Utara (Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang), Wilayah Tengah (Selangor, Kuala Lumpur), dan Wilayah Selatan (Negeri Sembilan, Melaka, Johor). Daripada peringkat kelayakan wilayah, sebanyak 16 pasukan mara ke fasa playoff yang terdiri daripada 14 juara wilayah bersama dua pasukan wildcard yang dipilih daripada naib juara negeri dengan kadar penyertaan tertinggi.
Selain tumpuan utama di lokasi Grand Final Kuala Lumpur, sesi tontonan komuniti secara fizikal turut diadakan di Selangor, Pulau Pinang, Johor, dan Miri. Pengunjung yang hadir di lokasi-lokasi ini menerima pelbagai ganjaran serta manfaat eksklusif dalam permainan Honor of Kings, penebusan minuman menggunakan HOK Benefit Coins, barangan eksklusif, serta akses ke zon aktiviti rakan kongsi rasmi, iQOO, di Orange Café.


