Perjalanan memburu slot ke saingan LCP tahun hadapan bermula secara rasmi dengan kepulangan kejohanan LCP Wild Card tahun ini. Kejohanan tersebut menawarkan peluang kepada pasukan-pasukan di seluruh Asia Tenggara untuk bersaing di peringkat LCP Promotion Series demi merebut slot kelayakan ke liga utama.

Pusingan kelayakan kali ini akan diadakan di beberapa rantau khusus yang melibatkan Indonesia, Malaysia, Singapura, Filipina, dan Thailand. Selain daripada kelayakan mengikut rantau, satu pusingan kelayakan terakhir iaitu Last Chance Qualifier (LCQ) turut akan dibuka kepada semua pasukan yang layak dari seluruh Asia Tenggara, termasuk pasukan yang pernah menyertai pusingan kelayakan serantau sebelum ini.

Secara keseluruhan, empat pasukan yang terdiri daripada pemenang setiap kelayakan serantau serta pemenang LCQ akan mara ke fasa LCP Wild Card Playoffs. Pihak penganjur menyediakan hadiah terkumpul sebanyak USD2,000 bagi setiap pusingan kelayakan, manakala peringkat akhir Playoffs pula menawarkan hadiah terkumpul bernilai USD5,000. Pemenang mutlak di peringkat Playoffs akan mara secara langsung ke LCP Promotion Series.

Format bagi pusingan kelayakan ini dibahagikan kepada dua fasa utama iaitu Open Round dan Knockout Round.

Di peringkat Open Round, pasukan akan bertanding selama dua hari dalam format single-elimination dengan perlawanan terbaik dalam satu game (BO1). Hari pertama akan menentukan empat pasukan teratas untuk mara ke fasa seterusnya. Pada hari kedua, baki pasukan yang belum layak akan diletakkan semula di dalam kumpulan yang baharu untuk merebut baki empat lagi slot. Fasa ini menggunakan format Tournament Draft dengan penentuan pemilihan bahagian dilakukan melalui lambungan syiling.

Seterusnya, lapan pasukan yang berjaya melepasi Open Round akan diuji dalam fasa Knockout Round yang menggunakan format double-elimination perlawanan terbaik dalam tiga game (BO3), manakala perlawanan akhir akan dijalankan secara BO5. Kesemua perlawanan di peringkat Knockout Round akan menggunakan format Fearless Draft. Lambungan syiling akan menentukan pemilihan sbahagian bagi Game 1, manakala pasukan yang kalah akan memilih fasa untuk game yang berikutnya.

Peringkat LCP Wild Card Playoffs pula dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 6 Oktober 2026. Empat pasukan terbaik akan bertanding dalam format double-elimination BO5 sepenuhnya menggunakan Fearless Draft. Bagi menentukan pemilihan sebelah fasa pada Game 1, satu perlawanan khas format 2v2 akan dijalankan terlebih dahulu.

Jadual penuh bagi setiap pusingan kelayakan adalah seperti berikut:

Bagi rantau gabungan Indonesia, Malaysia, dan Singapura, pendaftaran dibuka bermula 16 hingga 29 Julai 2026. Perlawanan Open Round akan berlangsung pada 1 dan 2 Ogos, diikuti dengan Knockout Round pada 6 hingga 9 Ogos.

Untuk rantau Filipina, fasa pendaftaran bermula dari 30 Julai hingga 12 Ogos 2026. Seterusnya, Open Round akan diadakan pada 15 dan 16 Ogos, manakala Knockout Round dijadualkan pada 20 hingga 23 Ogos.

Seterusnya, pendaftaran bagi kelayakan Thailand akan dibuka pada 13 hingga 26 Ogos 2026. Aksi Open Round bakal berlangsung pada 29 dan 30 Ogos, disusuli dengan Knockout Round pada 3 hingga 6 September.

Bagi pusingan Regional Last Chance Qualifier, pasukan boleh mendaftar bermula 27 Ogos hingga 9 September 2026. Perlawanan Open Round akan dijalankan pada 12 dan 13 September, manakala Knockout Round pula pada 17 hingga 20 September.

Selain daripada penyertaan pasukan, permohonan untuk menjadi co-streaming kini telah dibuka. Sokongan bagi penstriman bersama ini akan tersedia sepanjang pusingan Knockout Round bagi setiap kelayakan serta keseluruhan fasa Wild Card Playoffs. Maklumat lanjut serta pautan pendaftaran boleh didapati melalui saluran media sosial rasmi League of Legends bagi setiap rantau yang terlibat.

Leave a Reply