Apple Original Films telah berkongsi treler dan poster bagi filem terbaharu mereka yang berjudul The Dink. Filem ini dijadualkan menemui penonton di seluruh dunia secara global pada 24 Julai 2026.
Filem ini mengisahkan tentang Dusty Boyd (lakonan Jake Johnson), seorang bekas pemain tenis berbakat yang kini bekerja sebagai jurulatih kanak-kanak di kelab desa milik bapanya, Chuck (Ed Harris). Dusty pada mulanya menyokong tindakan bapanya yang menentang penularan sukan pickleball di kelab berkenaan. Namun, selepas mengalami kecederaan lama yang menjejaskan keupayaannya untuk bermain tenis, Dusty terpaksa beralih kepada sukan pickleball sebagai alternatif bagi proses pemulihan.
Bersama gandingan baharunya, Candace (Mary Steenburgen), Dusty mula meminati sukan tersebut dan terpaksa berhadapan dengan kegagalan masa lalunya, termasuk menentang musuh lamanya iaitu Andy Roddick. Konflik ini akhirnya membawa Dusty dalam perjuangan untuk mempertahankan masa depan kelab, kasih sayang bapanya, serta identiti dirinya sendiri.


The Dink diarahkan oleh Josh Greenbaum berdasarkan skrip yang ditulis oleh Sean Clements. Filem ini diterbitkan oleh Ben Stiller, John Lesher, Rob Paris, Mike Witherill, dan Jake Johnson. Selain barisan pelakon utama, filem ini turut dibintangi oleh Patton Oswalt, Chloe Fineman, Chris Parnell, dan Aaron Chen.
Langganan Apple TV ditawarkan pada harga RM29.90 sebulan di Malaysia dengan akses percubaan percuma selama tujuh hari untuk pengguna baharu. Pelanggan yang membeli dan mengaktifkan peranti baharu seperti iPhone, iPad, Apple TV 4K, atau Mac juga layak menerima akses percuma selama tiga bulan untuk tempoh masa terhad.


