Syarikat pengedaran Encore Films mengumumkan pemerolehan hak pengedaran global di luar China untuk filem terbaharu arahan Stephen Chow yang berjudul Kung Fu Soccer. Bagi pasaran domestik di Tanah Besar China, urusan pengedaran akan dikendalikan oleh Maoyan Entertainment.

Filem terbitan bersama China dan Hong Kong yang membawakan genre Action Comedy ini menampilkan barisan pelakon utama seperti Zhang Xiaofei, Dilraba Dilmurat, dan Lay Zhang Yixing.

Kung Fu Soccer mengisahkan tentang Pasukan Bola Sepak Wanita Emei yang membuat kemunculan sulung dalam kejohanan “Supreme Invincible Cup”. Dianggotai oleh pemain yang mempunyai purata umur melebihi 30 tahun, pasukan ini pada mulanya berdepan dengan keraguan pihak luar. Bagaimanapun, selepas mendapat bimbingan daripada seorang guru, mereka mula menerapkan prinsip seni mempertahankan diri ke dalam taktik permainan bola sepak sehingga muncul sebagai pencabar utama. Cabaran besar melanda apabila berlakunya pengkhianatan yang tidak disangka, memaksa pasukan ini membina semula kepercayaan sesama mereka demi melayakkan diri ke perlawanan akhir menentang juara bertahan yang belum pernah dikalahkan.

Filem ini dihasilkan untuk tayangan dalam beberapa bahasa termasuk Mandarin, Kantonis, Inggeris, Korea, Jepun, dan Thai. Walaupun tarikh tayangan rasmi masih belum disahkan, Encore Films menyatakan bahawa perincian mengenai tayangan antarabangsa di pasaran-pasaran utama akan diumumkan dalam masa terdekat.

Leave a Reply