NetEase Games secara rasmi telah melancarkan fasa Beta Terbuka Konsol Terakhir untuk permainan open-world survival supernatural mereka, Once Human. Fasa ujian ini dijadualkan berlangsung bermula 17 Jun sehingga 8 Julai bagi platform PlayStation 5 dan Xbox Series.

Ujian beta kali ini menawarkan pelayan konsol bersepadu yang membolehkan pemain di kedua-dua platform tersebut bermain bersama. Walau bagaimanapun, fungsi rentas platform PC dan peranti mudah alih masih belum disokong untuk fasa ujian khusus ini. Akses penyertaan adalah terhad dan diedarkan mengikut konsep siapa cepat dia dapat merangkumi beberapa rantau global termasuk Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, Jepun, Korea Selatan, Asia Tenggara, serta Hong Kong/Macau/Taiwan.

Dalam Once Human, pemain akan mengawal watak Meta-Human yang perlu menerokai dunia pasca-apokaliptik yang musnah akibat jangkitan Stardust. Fasa beta ini menyediakan lima senario permainan yang merangkumi gaya main PvE dan PvP. Sepanjang kemandirian, pemain ditugaskan untuk membina serta mempertahankan kawasan sendiri, memanfaatkan Mutagens untuk evolusi watak, serta menangkap entiti unik yang dikenali sebagai Deviants untuk membantu menguruskan pangkalan serta bertempur bersama pemain.

Bagi pemain PlayStation 5 yang ingin menyertai, anda boleh mencari “Once Human Beta” di PlayStation Store untuk memuat turunnya secara terus. Untuk pengguna Xbox Series pula, akses boleh diperoleh dengan membuka aplikasi Xbox Insider Hub, pergi ke menu “Previews”, cari “Once Human“, dan pilih “Join” sebelum dibuka ke laman gedung rasmi untuk proses pemasangan.

Pihak pembangun mengesahkan bahawa ganjaran eksklusif yang diperoleh sepanjang fasa ini akan dibawa secara kekal ke pelancaran rasmi permainan. Pemain yang berjaya mencapai tahap 20 dengan mana-mana watak atau mengumpul masa permainan sekurang-kurangnya 3 jam dalam RaidZone akan menerima Cosmetic Selection Crate dan Weapon Skin Selection Crate.

Walaupun kemajuan tahap watak akan dipadamkan selepas fasa beta tamat, beberapa aset penting yang telah dikumpul akan tetap dipindahkan ke versi penuh pelancaran. Aset tersebut merangkumi semua Starchrom yang diperoleh, barangan kosmetik serta pakaian yang dimenangi, dan sehingga 6 Deviants yang telah ditangkap.

Leave a Reply