Samsung telah mengumumkan barisan monitor gaming Odyssey terbaharu untuk tahun 2026, yang diterajui oleh model Odyssey G80HS dengan spesifikasi resolusi 6K pertama dalam industri. Secara keseluruhan, pengenalan siri kali ini menyaksikan pelancaran empat model berbeza iaitu G80HS, G80HF, G80SH, dan G73SH yang membawakan kepelbagaian pilihan daripada aspek resolusi ultra-tinggi sehinggakan teknologi panel OLED.

Model utama siri ini, Odyssey G80HS, dilengkapi dengan skrin Dual-Layer IPS bersaiz 32 inci yang menyokong resolusi 6K (5760 x 3240). Monitor ini menawarkan kadar segar semula 120Hz, masa tindak balas 1ms (GtG), teknologi pengurangan pantulan cahaya, serta kalibrasi warna dengan penarafan Delta E < 2. Bagi pengguna yang memerlukan panel resolusi tinggi dalam saiz fizikal lebih kompak, Samsung turut menyediakan Odyssey G80HF yang hadir dengan skrin IPS rata bersaiz 27 inci, resolusi 5K (5120 x 2880), kadar segar semula 120Hz, dan masa tindak balas 1ms (GtG).

Bagi segmen OLED pula, Samsung memperkenalkan dua model yang memfokuskan kepada paparan warna hitam yang lebih pekat dan kelajuan tinggi, iaitu Odyssey G80SH dan Odyssey G73SH. Kedua-dua model ini dilengkapi dengan teknologi OLED Glare Free serta sistem perlindungan OLED Safeguard+.

Odyssey G80SH merupakan monitor melengkung bersaiz 32 inci dengan resolusi 4K UHD (3840 x 2160), kadar segar semula 240Hz, dan masa tindak balas sepantas 0.03ms (GtG). Sementara itu, Odyssey G73SH pula dibina berasaskan skrin OLED rata bersaiz 27 inci dengan resolusi QHD (2560 x 1440), kadar segar semula mencecah 360Hz, serta mengekalkan masa tindak balas pantas 0.03ms (GtG).

Kesemua empat model dalam barisan Odyssey 2026 ini berkongsi beberapa ciri standard pemprosesan imej dan perkakasan, termasuk sokongan NVIDIA G-SYNC Compatible, AMD FreeSync Premium, serta format HDR10+ GAMING. Dari segi reka bentuk fizikal, kesemua monitor ini dipadankan dengan tapak ergonomik yang membolehkan pengguna melaras kedudukan skrin secara condong (tilt), berpusing (swivel), mahupun menegak (pivot) mengikut keselesaan ruang kerja atau hiasan komputer masing-masing. Spasifikasi penuh bagi setiap model boleh disemak melalui saluran rasmi Samsung Malaysia.

Leave a Reply