Muzik dari indie game Undertale akan dipersembahkan secara langsung dalam sebuah konsert orkestra di Kuala Lumpur pada 28 September 2026. Persembahan yang bertajuk UNDERTALE: The Determination Symphony World Tour ini akan diiringi oleh 25 pemuzik orkestra berserta tayangan visual permainan video tersebut secara terus di atas skrin.
Konsert ini dijadualkan bermula pada jam 8:00 malam dan akan bertempat di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Persembahan orkestra ini dipimpin oleh konduktor Thanapol Setabrahmana dan dimainkan oleh Metropolitan Festival Orchestra. Acara ini dianjurkan oleh syarikat label rakaman bebas, Cross Ratio Entertainment.

Karya dan muzik bagi permainan video tersebut dicipta oleh Toby Fox. Sepanjang durasi konsert, susunan persembahan muzik akan menelusuri pelbagai lokasi utama di dalam dunia permainan itu, termasuk Ruins, Snowdin, Waterfall, Hotland, dan New Home.
Jualan tiket bermula pada 12 Jun 2026, jam 10:00 pagi menerusi platform web SISTIC. Harga tiket standard ditetapkan bermula dari MYR 230 hingga MYR 380 mengikut kategori, manakala tiket dengan pandangan terhad pula ditawarkan pada harga antara MYR 150 hingga MYR 250. Promosi diskaun pembelian awal disediakan untuk kesemua kategori tiket bermula dari tarikh jualan dibuka sehingga 5 Julai 2026.


