Pasaran peranti gaming tempatan menerima kehadiran model flagship baharu apabila REDMAGIC 11S Pro dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Telefon pintar ini memfokuskan kepada spesifikasi berkuasa tinggi, kapasiti bateri yang besar, serta sistem penyejukan cecair khusus yang dipaparkan pada reka bentuk luaran peranti.

Bagi pasaran tempatan, REDMAGIC 11S Pro dijual pada harga bermula RM3,799 bagi varian Nightfreeze (12GB + 256GB). Manakala untuk varian 16GB + 512GB, ia ditawarkan pada harga RM4,499 dengan pilihan warna Nightfreeze dan Subzero. Jualan rasmi bermula pada 5 Jun 2026. Pembelian sehingga 30 Jun 2026 turut disertakan dengan hadiah percuma berupa REDMAGIC Cyber Gamepad bernilai RM499.
Dari segi spesifikasi dalaman, peranti ini dikuasakan oleh pemproses Snapdragon 8 Elite Gen 5 Leading Version yang membawakan kelajuan CPU sehingga 4.74GHz dan GPU sehingga 1,300MHz. Peningkatan ini menyaksikan prestasi CPU melonjak sebanyak 19%, GPU sebanyak 24%, dan NPU sebanyak 39% berbanding model terdahulu, REDMAGIC 10S Pro. Kuasa dalaman ini turut dibantu oleh cip gaming khusus RedCore R4 untuk menguruskan maklum balas haptik, audio, kesan visual, dan prestasi permainan, di samping sistem Energy Cube 3.0 yang mengoptimumkan kecekapan kuasa dalam masa nyata.

Bagi mengekalkan kestabilan suhu semasa beban kerja tinggi, REDMAGIC 11S Pro dilengkapi sistem penyejukan AquaCore yang dinaik taraf. Sistem ini menggunakan teknologi penyejukan cecair fluorinated tidak konduktif gred AI server yang digabungkan dengan pam mikro seramik piezoelektrik. Selain itu, kecekapan haba dipertingkatkan lagi melalui kipas Turbo 24,000 RPM, reka bentuk vapor chamber berkeluasan 13,116mm², serta struktur terma dua sisi yang meningkatkan pemindahan haba sehingga 50%. Komponen penyejukan cecair ini sengaja dipaparkan secara jelas di bahagian belakang peranti yang menggunakan reka bentuk lutsinar tanpa bonggol kamera bersama pencahayaan RGB dinamik.
Satu lagi peningkatan utama pada peranti ini ialah kapasiti baterinya yang mencecah 7,500mAh tanpa menambah ketebalan fizikal telefon secara berlebihan. Bateri ini menyokong teknologi pengecasan nirwayar ultra pantas sehingga 80W serta fungsi pengecasan terbalik dwi-arah secara berwayar mahupun tanpa wayar untuk mengecas aksesori lain.

Bahagian paparan peranti menggunakan skrin penuh BOE X10 under-display generasi baharu tanpa sebarang takuk atau lubang kamera. Skrin beresolusi 2688 × 1216 ini menyokong kadar segar semula 144Hz, kecerahan puncak 1,800 nits, serta pensijilan perlindungan mata daripada SGS dan TÜV Rheinland melalui ciri PWM dimming 2,592Hz dan DC dimming. Responsif skrin dipacu oleh cip sentuh Synaptics 3910v dan Magic Touch 4.0 yang menyokong sentuhan tangan basah dengan peningkatan ketepatan sebanyak 10%. Sistem biometrik pula dijana oleh sensor cap jari ultrasonik 3D di bawah skrin.
Untuk pengalaman multimedia dan input kawalan, peranti ini dilengkapi pembesar suara stereo 1015a + 1115e, motor haptik 0815, serta butang trigger bahu berkecepatan 520Hz untuk permainan bergenre FPS dan MOBA.

Bagi sokongan perisian dan ketersambungan, REDMAGIC 11S Pro menjalankan sistem operasi REDMAGIC OS 11.5 berasaskan Android 16 yang menyertakan Gaming X-Gravity Center. Peranti ini turut diintegrasikan dengan ciri kecerdasan buatan Google Gemini AI untuk tugasan harian seperti Circle to Search, carian foto AI, terjemahan masa nyata, dan bantuan perbualan. Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuklah antena 360°, Wi-Fi dwi jalur, dwi-SIM, NFC dengan Google Pay, serta port USB 3.2 Gen 2 yang menyokong fungsi sambungan skrin kedua.


