New One Studio secara rasmi telah melancarkan permainan FMV terbaharu mereka, Road to Empress II, pada 9 Jun lepas untuk PC, iOS dan Android. Permainan ini juga akan tiba Nintendo Switch sekitar tahun ini.
Sekuel kepada Road to Empress I ini membawakan skala kandungan yang lebih besar menerusi hampir 1,000 minit rakaman aksi nyata baharu. Bagi pasaran PC, permainan ini turut menyokong kualiti paparan visual sehingga resolusi 4K HD dengan penyediaan rekaan set istana serta kostum yang lebih terperinci.
Dari segi mekanik permainan, Road to Empress II mengekalkan elemen penceritaan dari perspektif orang pertama. Pemain akan mengambil peranan sebagai seorang pegawai istana yang perlu mengemudi konflik politik serta perebutan kuasa antara golongan bangsawan. Sistem interaktif dalam cerita ini turut dipertingkatkan di mana pemain perlu meneliti laporan rasmi istana, mengeluarkan titah diraja, serta menguruskan hubungan antara puak bagi menentukan kestabilan empayar. Setiap keputusan yang diambil bakal memberi kesan berantai kepada jalannya cerita dan membawa kepada pelbagai pilihan pengakhiran yang berbeza.



Barisan pelakon untuk siri ini dibintangi oleh Kuan Hung, Evie Huang, Zeawo Yao, dan Hana Lin. Penerbit permainan ini, Demi, menyatakan bahawa fokus utama sekuel ini adalah untuk memperluaskan skala naratif, kerumitan pilihan pemain, serta impak emosi bagi setiap keputusan yang dibuat sepanjang permainan.
New One Studio sebelum ini dikenali melalui penghasilan projek bercorak interactive entertainment yang berasaskan budaya Timur, termasuklah tajuk FMV The Invisible Guardian serta Road to Empress I yang memfokuskan kepada konsep live-action interactive drama.


