Watak naga ungu ikonik, Spyro, bakal kembali dalam pengembaraan asli terbaharu menerusi judul Spyro: A Realm Beyond yang dijadualkan pelancarannya pada musim bunga 2027 menurut perkongsian ketika Xbox Games Showcase. Judul ini dibangunkan oleh Toys for Bob, studio yang sebelum ini bertanggungjawab membangunkan Spyro Reignited Trilogy.
Berbeza dengan siri terdahulu yang mengehadkan pergerakan udara kepada mekanik luncuran atau penerbangan terhad, Spyro: A Realm Beyond akan memperkenalkan sistem penerbangan naga sepenuhnya secara bebas buat kali pertama. Menurut Ketua Studio Toys for Bob, Paul Yan, reka bentuk fizikal Spyro telah diubah suai dengan memperluas bukaan sayap bagi membolehkan karakter tersebut bergerak dengan lebih tangkas dan meredah rintangan di udara. Reka bentuk ini mengekalkan kesinambungan daripada Spyro Reignited Trilogy dan tidak mengambil inspirasi daripada versi siri Skylanders.
Pelakon suara asal, Tom Kenny, turut disahkan kembali meminjamkan suaranya. Dari segi penceritaan, judul terbaharu ini akan membawakan nada yang lebih matang melalui pengenalan watak antagonis baharu yang akan meningkatkan skala cabaran dan menguji keupayaan watak utama tersebut. Walau bagaimanapun, elemen penerokaan dalam dunia fantasi yang luas dan penuh warna tetap menjadi teras utama corak permainannya.
Spyro: A Realm Beyond akan tersedia untuk platform PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch 2, dan PC (melalui Steam serta aplikasi Xbox). Judul ini juga akan dimuatkan ke dalam perkhidmatan Game Pass berserta sokongan untuk ciri Xbox Play Anywhere.


