Pembangun permainan video legenda, Fumito Ueda, secara rasmi mengumumkan gen ATLAS sebagai judul permainan terbaharunya di acara Summer Game Fest. Karya sulung daripada studio GenDesign ini yang sebelum ini dikenali sebagai Project Robot merupakan sebuah permainan bergenre single-player, open-world, action-adventure. Ia disahkan bakal dilancarkan untuk platform PlayStation 5, Xbox Series, dan PC melalui Epic Games Store. Setakat ini, tiada sebarang tarikh atau tetingkap pelancaran rasmi yang diumumkan.


Projek baharu ini mencatatkan sejarah sebagai kali pertama permainan arahan Ueda tidak dijadikan penawaran eksklusif untuk platform PlayStation. Beliau sebelum ini meninggalkan Sony pada 2011 semasa proses penyiapan The Last Guardian untuk menubuhkan GenDesign. Selepas pertama kali diacah menerusi treler berdurasi dua minit pada acara The Game Awards 2024, penerbitan gen ATLAS kini dikendalikan oleh Epic Games susulan satu perjanjian yang ditandatangani pada 2020. Pembangunan permainan ini turut digerakkan menggunakan Unreal Engine.s
Dari segi latar penceritaan, gen ATLAS mengekalkan formula ikonik ciptaan beliau yang tertumpu pada perjalanan gandingan antara watak manusia bersaiz kecil dan sebuah entiti gergasi, menepati tema judul-judul terdahulunya seperti Ico dan Shadow of the Colossus. Pemain akan bermula tanpa ingatan di sebuah planet terbiar yang sunyi, dipenuhi dengan struktur kolosal, kemudahan terbengkalai, serta lautan yang sentiasa berubah. Sepanjang penerokaan di dunia tersebut, watak utama akan menemui sebuah robot gergasi yang berupaya membuka akses kepada kawasan-kawasan baharu di luar jangkauan biasa.
Berdasarkan butiran daripada treler baharu, mekanik permainan memaparkan kawalan jentera dari sudut pandangan manusia, di mana watak tersebut boleh beroperasi secara taktikal di atas tanah mahupun ketika memanjat robot berkenaan. Permainan ini turut memperkenalkan elemen teka-teki baharu, segmen tembak-menembak, serta ciri menonjol di mana komponen “kepala” robot adalah bahagian yang boleh ditukar ganti dan dipasang pada jentera gergasi yang lain.


