Karya popular Hajime Isayama akan menerima adaptasi permainan video terbaharu melalui pengumuman Attack on Titan 3 ketika Summer Game Fest. Dibangunkan oleh studio Omega Force di bawah naungan Koei Tecmo, judul ini diumumkan untuk platform PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch 2, dan PC.
Buat julung kalinya, pemain dapat melalui keseluruhan jalan cerita siri tersebut bermula dari fasa awal penubuhan pasukan tinjau sehinggalah ke pengakhirannya. Sebagai sebuah action game yang berlatarkan dunia dark fantasy, siri terbaharu ini membawa penambahbaikan kepada sistem pertempuran peralatan mobiliti omni-direction bagi menawarkan pergerakan yang lebih tangkas dan intensif. Permainan ini turut memfokuskan pertempuran menentang Nine Titans serta menyertakan kandungan cerita baharu yang mengembangkan lagi penceritaan watak.


Koei Tecmo akan mendedahkan butiran lanjut mengenai judul ini dalam satu penstriman langsung rasmi pada 1 Julai 2026. Sesi tersebut bakal menampilkan pelakon suara Yui Ishikawa yang memegang watak Mikasa, dan Shiori Mikami yang menyuarakan watak Krista.
Selain itu, pengunjung acara Anime Expo 2026 yang berlangsung di Los Angeles bermula 2 hingga 5 Julai ini berpeluang melihat treler Attack on Titan 3 dengan lebih awal di reruai pameran AmiAmi.


