Santa Monica Studio ketika acara State of Play secara rasmi mengumumkan judul terbaharu dalam siri God of War melalui God of War Laufey. Berbeza daripada siri sebelum ini, permainan terbaharu ini akan memfokuskan watak Laufey (Faye), iaitu pahlawan Jötnar yang juga isteri kepada Kratos, sebagai watak utama permainan.
Plot penceritaan bermula apabila Faye terjaga di sebuah alam asing selepas upacara pengebumiannya. Alam tersebut, yang dikenali sebagai The Everywhen, merupakan tempat tumpuan magis serta alam selepas kematian bagi para dewa daripada pelbagai mitologi untuk bersaing merebut kuasa. Di sana, Faye mendapati rancangan yang telah diaturkannya untuk melindungi Kratos dan Atreus kini terancam, memaksa watak ini bertempur dengan barisan dewa asing seperti Sekhmet dan Begtse demi mencari jalan pulang.
Dari segi mekanik, pembangunan tatamain bagi judul ini menggabungkan kelancaran aspek mobiliti dan pergerakan daripada era Greek siri God of War dengan corak pembinaan dunia serta hubungan rapat antara watak daripada era Norse. Tatamain pertempuran untuk Faye memfokuskan kepada kelancaran pergerakan yang membolehkan watak ini beralih antara serangan darat dan udara tanpa menghentikan aksi permainan.
Faye akan menggunakan sebilah pedang legenda yang diperoleh daripada seorang penjaga bernama Rue. Selain penggunaan senjata, status Faye sebagai “Golden Hand of the Jötnar” memberikan kebolehan manipulasi jiwa yang telah dipertingkatkan di dalam The Everywhen. Faye boleh menggunakan telapak tangan emasnya untuk memisahkan roh musuh daripada jasad, membolehkan pemain menyerang roh tersebut secara terus atau melontarkannya ke arah musuh lain untuk melakukan kombo.

Bagi barisan pelakon, Deborah Ann Woll kembali memegang watak sebagai Faye selepas penglibatan dalam God of War Ragnarök. Sepanjang pengembaraan, watak utama ini akan dibantu oleh dua rakan sekutu yang ditemuinya, iaitu Phranque (dilakonkan oleh Jack Quaid) yang merupakan sebuah kiub kosmik, serta Rue (dilakonkan oleh Perlina Lau) yang bertindak sebagai pengawal reben ajaib kepada pedang legenda tersebut.
Pembangunan projek ini diterajui oleh Ariel Lawrence selaku Pengarah Permainan bersama Cory Barlog sebagai Ketua Kreatif di Santa Monica Studio. Pihak studio kini telah membuka akses untuk memasukkan God of War Laufey ke dalam senarai hajat para pemain tetapi masih tiada tarikh pelancaran yang diumumkan.


