Ketika acara State of Play yang berlangsung pagi tadi, Insomniac Games telah berkongsi lanjut mengenai permainan akan datang mereka Marvel’s Wolverine. Mereka telah berkongsi tatamain, watak baharu dan juga sesi pra-tempahan sebelum dilancarkan untuk PlayStation 5 pada 15 September 2026.

Kempen permainan ini berkisarkan James “Logan” Howlett yang kembali menyertai Team X, sebuah pasukan bertindak mutan, selepas tiga tahun membawa haluan sendiri. Penceritaan memfokuskan kepada konflik di antara kumpulan mutan yang hidup dalam ketakutan dengan Reavers, sebuah pasukan militia sibernetik. Kumpulan tentera upahan ini berkhidmat untuk Bolivar Trask, seorang jutawan industri yang taksub dengan keunggulan manusia biasa. Dalam usahanya menyelamatkan mutan yang ditangkap, Logan dibantu oleh Jean Grey, seorang pemimpin mutan dengan kemampuan telekinesis. Treler terbaharu ini juga secara ringkas memberi bayangan kemunculan watak Sabretooth.

Dari sudut mekanik pertempuran, permainan ini membawa aksi yang ganas dan berdarah. Pemain mempunyai pilihan untuk menggunakan pendekatan senyap untuk menyerang hendap atau berhadapan dengan musuh secara terus. Terdapat sistem serangan khas yang dipanggil “Techniques” seperti Tornado Spin dan Bull Rush. Pemain juga boleh melaksanakan serangan penyudah yang dikenali sebagai “Critical Strikes”, sama ada secara berseorangan atau dengan menggabungkan serangan bersama kuasa telekinesis Jean Grey. Turut disertakan adalah set aksi pertempuran kenderaan, termasuk babak di mana Logan bertarung sambil menunggang motosikal, memusnahkan tayar, dan melompat ke arah kenderaan musuh.

Permainan ini memperkenalkan sistem meter “Rage” yang akan meningkat dengan setiap serangan, tangkisan, dan bunuhan yang berjaya. Apabila meter ini diaktifkan, pemain boleh melancarkan serangan berkuasa tinggi atau menggunakan kebolehan “Healing Factor” untuk memulihkan tahap kesihatan. Jika Logan hampir tewas, pemain boleh menggunakan mekanik “Last Stand” untuk terus bertahan. Pengaktifan tahap maksimum iaitu “Rage Tier 3” pula akan menukar visual permainan kepada gaya estetik monokromatik berdarah, mengambil inspirasi secara terus daripada siri komik.

Marvel’s Wolverine kini dibuka untuk pra-tempahan dengan edisi Standard, yang memberikan akses awal kepada sut kosmetik Classic Brown dan Reflective Claws. Edisi Digital Deluxe pula merangkumi lima sut eksklusif (seperti Savage dan Age of Apocalypse), lima bentuk kuku, serta mata Techniques tambahan. Kesemua penawaran sut dan kuku tambahan ini disahkan bersifat kosmetik semata-mata. Permainan ini juga akan dilancarkan dengan senarai sokongan kebolehcapaian yang mendalam bagi membantu pemain yang mempunyai batasan kognitif, visual, pendengaran, dan motor.

Leave a Reply