Saingan musim liga bagi Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL) Malaysia Musim 17 telah melabuhkan tirainya dengan enam pasukan berjaya menempah tempat ke Pusingan Kalah Mati. Enam pasukan tersebut adalah Selangor Red Giants (SRG), Invictus Gaming (iG), Team Vamos (VMS), RRQ Tora (RRQ), Team Rey (TR), dan Bigetron MY by VIT (BTRM).
Pasukan-pasukan ini bukan sahaja akan bersaing untuk menjulang piala Immortal Cup, malah turut memburu kelayakan untuk mewakili negara ke kejohanan antarabangsa Esports World Cup (EWC).

Dua slot terakhir ke pusingan tersebut telah disahkan pada minggu kelapan pertandingan yang menjadi milik pasukan BTRM dan RRQ. BTRM mempamerkan prestasi cemerlang dengan menewaskan Team Flash (FL) dan iG, manakala SRG mengekalkan dominasi mereka dengan menundukkan TR untuk meneruskan misi memburu gelaran juara MPL Malaysia buat kali kelima berturut-turut. Pasukan AC Esports pula gagal melayakkan diri ke peringkat seterusnya walaupun berjaya menewaskan RRQ pada perlawanan terakhir mereka.
Dalam perkembangan berasingan, senarai rasmi pemain yang akan mewakili Malaysia untuk sukan Mobile Legends: Bang Bang di Sukan Asia turut diumumkan. Pasukan kebangsaan ini akan dibarisi oleh Ealtond “Loleal” Rayner, Muhammad “Zqeef” Azman, Ammar “Martzy” Rahman, Muhammad Nazhan “Chibi” Mohd Nor, Muhammad “Sizkaa” Sazali, dan Mohammad Zul Hisham “Xorn” Mohd Noor.

Skuad bimbingan ketua jurulatih Doly “SaintDeLucaz” Sihotang ini bakal bertanding di Resorts World Sentosa, Singapura dari 18 hingga 21 Jun bagi pusingan kelayakan Sukan Asia. Presiden Persekutuan Esukan Malaysia (MESF), Muhammad Naim Al-Amin Saharudin berharap agar skuad negara mampu membawa pulang pingat melalui penampilan sulung permainan bergenre MOBA tersebut di Sukan Asia.
Bagi memeriahkan lagi acara kemuncak kejohanan ini, Festival MPL Malaysia akan dianjurkan untuk para penyokong bermula 3 hingga 7 Jun. Para peminat esukan boleh menyertai pelbagai aktiviti fizikal, mengunjungi perkampungan makanan, serta menonton perlawanan melalui tayangan skrin gergasi bermula 5 Jun. Acara ini juga akan menyajikan persembahan pentas, sesi ramah mesra bersama pemain, dan jualan barangan rasmi pasukan.


