Pemain League of Legends dari Filipina, Indonesia, Malaysia, Singapura, dan Thailand kini boleh mendaftar untuk Demon Hunter Arena Tournament, sebuah pertandingan yang menawarkan hadiah terkumpul sebanyak $3,500 berserta tajaan perjalanan ke acara MSI 2026. Kejohanan ini mempertaruhkan format 3×6 Arena, memerlukan para pemain bertanding dalam pasukan yang terdiri daripada tiga orang.

Pendaftaran untuk kejohanan ini dibuka bermula 22 Mei hingga 2 Jun 2026. Selepas pendaftaran ditutup, pasukan akan memulakan pusingan kelayakan terbuka yang dikenali sebagai The Hunt dari 4 hingga 7 Jun 2026. Peringkat awal ini menggunakan sistem berasaskan mata, di mana setiap pusingan merangkumi tiga perlawanan berserta rombakan lobi secara rawak selepas tamat setiap pusingan. Pasukan yang menduduki tempat pertama dalam setiap perlawanan akan memperoleh enam mata, dan markah menurun hingga ke satu mata untuk pasukan di kedudukan keenam. Pasukan yang mengumpul mata tertinggi pada akhir tiga perlawanan akan mara ke pusingan seterusnya.

Hanya enam pasukan terbaik daripada fasa kelayakan akan bersaing di peringkat akhir yang dinamakan The Reckoning, dijadualkan pada 14 Jun 2026. Pusingan akhir ini menggunakan format perlawanan Checkmate. Mana-mana pasukan yang berjaya mengumpul 15 mata akan diletakkan dalam status “check”. Jika pasukan berstatus “check” tersebut memenangi perlawanan seterusnya, mereka akan terus dinobatkan sebagai juara. Sekiranya tiada pemenang mutlak selepas enam perlawanan berlangsung, pasukan dengan markah terkumpul tertinggi secara automatik akan diisytiharkan sebagai pemenang kejohanan.

Sebagai ganjaran utama, pasukan yang mendapat tempat pertama akan diterbangkan ke Daejeon, Korea Selatan untuk menyaksikan MSI 2026 dari 9 hingga 13 Julai. Tajaan ini meliputi tiket penerbangan, penginapan, serta tiga tiket untuk menyaksikan perlawanan Lower Bracket Final dan Grand Final, selain membawa pulang wang tunai $1,000. Pasukan di tempat kedua hingga keenam pula akan berkongsi baki hadiah wang tunai yang bernilai antara $700 hingga $300. Di samping itu, pasukan yang menamatkan saingan di kedudukan 192 terbaik akan menerima ganjaran dalam permainan yang berupa Fiendish Frenzy Orbs bergantung pada posisi akhir mereka.

Hari kemuncak The Reckoning turut dimeriahkan dengan pertunjukan pencipta kandungan sebelum perlawanan akhir bermula. Tiga perlawanan pameran akan dianjurkan, di mana enam penonton bertuah akan dipilih bagi setiap perlawanan untuk melengkapkan barisan pasukan pencipta kandungan yang mengambil bahagian. Siaran langsung perlawanan akhir akan di strim secara langsung melalui Facebook, Instagram, YouTube, dan Twitch rasmi League of Legends bagi wilayah Filipina, Indonesia, Malaysia & Singapura, serta Thailand.

Penonton yang mengikuti acara “watch party” tajaan para pencipta kandungan ini juga berpeluang memenangi lebih banyak Fiendish Frenzy Orbs melalui sesi cabutan bertuah sepanjang perlawanan.

Leave a Reply