Kejohanan antarabangsa Esports World Cup (EWC) secara rasminya akan dianjurkan di Paris, Perancis bagi edisi 2026. Langkah ini menandakan kali pertama acara esukan berskala besar tersebut diadakan di luar lokasi asalnya di Riyadh, Arab Saudi.

Bakal berlangsung dari 6 Julai hingga 23 Ogos 2026, kejohanan edisi baharu ini mengekalkan penawaran dana yang besar dengan hadiah terkumpul mencatatkan angka melebihi $75 juta. Secara keseluruhan, acara tersebut akan menampilkan lebih 2,000 pemain profesional yang mewakili 200 kelab dari lebih 100 buah negara. Kesemua pihak ini akan bersaing merentasi 25 kejohanan yang merangkumi 24 judul permainan berbeza.
Keputusan untuk membawa EWC ke Eropah merupakan langkah strategik oleh Esports Foundation untuk mempercepatkan proses pusingan antarabangsa acara tersebut. Selain memperluaskan jangkauan global, keputusan ini juga dibuat untuk memberikan tahap kejelasan dan kestabilan yang lebih baik kepada para pemain, penerbit permainan, rakan kongsi, serta para peminat. Peralihan fasa antarabangsa ini turut menyaksikan pertemuan rasmi antara Ketua Pegawai Eksekutif Esports Foundation, Ralf Reichert, dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Istana Élysée.

Perkembangan ini dibuat bersandarkan angka penstriman dan capaian global yang direkodkan pada edisi lalu. Pada tahun 2025, EWC berjaya mengumpulkan lebih 750 juta penonton di seluruh dunia dengan jumlah masa tontonan melebihi 350 juta jam. Angka penonton serentak acara tersebut juga mencatatkan jumlah kemuncak pada paras hampir lapan juta penonton. Liputan kejohanan berkenaan telah dikendalikan oleh 97 rakan penyiaran merentasi 28 platform, membawakan kandungan dalam 35 bahasa berbeza ke 140 buah negara.
Maklumat lanjut berhubung lokasi rasmi penganjuran di Paris akan disahkan oleh pihak penganjur dalam tempoh beberapa minggu akan datang. Pihak kelab, pemain, dan pemegang tiket akan dihubungi secara terus bagi sebarang penyelarasan maklumat mengenai perubahan ini.


