Bandai Namco dan Square Enix telah menetapkan tarikh pelancaran rasmi untuk judul RPG terbaru mereka, The Adventures of Elliot: The Millennium Tales. Permainan ini akan dilancarkan di pasaran Asia Tenggara pada 18 Jun 2026 untuk platform PlayStation 5, Xbox Series, dan PC melalui Microsoft Store. Versi PC melalui Steam pula akan menyusul sehari kemudian pada 19 Jun 2026.

Edisi fizikal permainan ini telah disahkan bakal ditawarkan secara khusus untuk konsol PlayStation 5 dan Nintendo Switch 2.

Berdasarkan maklum balas daripada versi demo yang tiba di Nintendo Switch 2 sebelum ini, pihak pembangun telah mengesahkan pelaksanaan beberapa penambahbaikan pada permainan akhir. Perubahan sistem ini merangkumi kelajuan pergerakan yang ditingkatkan untuk watak utama, Elliot, penambahbaikan kelancaran pada menu pintasan senjata, serta penambahan pilihan tahap kesukaran. Dari sudut gaya main, Elliot mempunyai akses kepada tujuh jenis senjata berbeza, daripada pedang jarak dekat hingga rantai dan sabit, yang mana kesemuanya boleh diubah suai gaya tempurnya menggunakan sistem Magicite. Dalam pengembaraan yang merentas empat zaman ini, Elliot turut dibantu oleh Faie, sebuah karakter sokongan yang menggunakan magik untuk menyerang musuh, mengambil barang di kawasan yang sukar dicapai, dan membantu kelancaran penjelajahan.

Pra-tempahan untuk edisi digital kini telah dibuka secara rasmi di sebahagian besar platform, manakala pembukaan pra-tempahan digital untuk Nintendo Switch 2 akan diumumkan dalam masa terdekat. Pengguna yang membuat pra-tempahan akan menerima ‘Elliot’s Departure Pack’ yang mengandungi aksesori Departure Brooch, yang berfungsi untuk meningkatkan kadar jatuhan mata wang dan serpihan Magicite daripada musuh, berserta item Attack Up sword Magicite.

Di samping penawaran edisi standard, judul ini turut hadir dalam versi Digital Deluxe Edition yang menyertakan aksesori tambahan di dalam permainan, iaitu Fairy Bangle, Cherry Blossom Anklet, dan Roselle Ring. Bagi peminat yang menggemari barangan koleksi, edisi Physical Collector’s Edition akan menyertakan salinan fizikal permainan, cakera runut bunyi asli, dan sebuah patung jam meja fizikal yang menampilkan karakter Faie.

Leave a Reply