Paper Rex (PRX) sekali lagi membuktikan status mereka sebagai ‘Raja Pasifik’ apabila merangkul kejuaraan VCT 2026: Pacific Stage 1. Dalam aksi Grand Final, PRX berjaya menundukkan pasukan dari Thailand, Full Sense dengan kemenangan bersih 3-0, sekaligus mengesahkan kemaraan mereka ke Masters London sebagai pilihan pertama rantau ini.

Walaupun berjaya melakar kemenangan tanpa bolos, kem PRX kekal merendah diri dan mengharapkan yang mereka dapat memenangi pusingan pistol lebih lagi.

“Ia merupakan pentas pertama yang sangat panjang dan saya sangat gembira kami berjaya melepasi garisan penamat. Saya rasa kami bermain dengan agak baik hari ini. Pastinya lebih bagus jika kami dapat memenangi satu atau dua pusingan pistol, tetapi tidak mengapa, sekurang-kurangnya banyak pusingan senjata (gun rounds) memihak kepada kami. Saya sangat berbangga dengan mereka,” ujar Ketua Jurulatih PRX, Alecks, dalam sidang media selepas kemenangan tersebut.

Sentimen yang sama turut dikongsi oleh Davai, yang memberikan penghormatan kepada pihak lawan. “Pujian harus diberikan kepada FULL SENSE. Mereka bermain dengan sangat baik sebagai sebuah pasukan. Walaupun kami mempunyai komposisi tertentu dalam beberapa pusingan, mereka tetap melakukan yang lebih baik daripada kami. Jadi, kini mari kita fokus kepada Masters London bersama-sama,” katanya.

Salah satu tumpuan utama sidang media tersebut adalah peningkatan prestasi Invy. Alecks mendedahkan bahawa beliau telah lama memerhatikan pemain itu sejak tahun 2022 berdasarkan statistik cemerlangnya bersama Team Secret.

“Saya sentiasa melihat Invy mendahului statistik setiap tahun. Di Paper Rex, saya rasa dia telah mengambil satu lagi langkah ke hadapan. Bukan mudah untuk berada dalam pasukan ini di mana semua orang mempunyai idea masing-masing, dan dia terpaksa memilih idea mana yang terbaik sambil sering ditarik ke pelbagai arah oleh pemain duelist pasukannya. Dia melakukan kerja yang sangat hebat,” puji Alecks.

Menjawab pujian tersebut, Invy menjelaskan bagaimana persekitaran di PRX banyak membentuk permainannya. “Pembangunan saya bermula daripada banyak kekalahan dalam perlawanan penting sebelum ini. Di sini, saya dapat menyerap cara rakan sepasukan bermain dan menerapkannya dalam gaya saya. Alecks juga seorang jurulatih yang hebat; apabila saya mempunyai perlawanan yang buruk, dia akan duduk berbincang dengan saya, kadang-kala sehingga tengah malam, untuk membantu saya melihat dari sudut pandang yang berbeza dan menjadi lebih yakin.”

Peminat PRX pastinya sudah lali dengan gelagat Alecks yang sering kelihatan tertekan dan kecewa di kerusinya, walaupun pasukan sedang mendahului. Menjelaskan perkara itu, Alecks menegaskan bahawa ia adalah soal standard dan disiplin permainan.

“Permainan kami sepatutnya boleh menjadi lebih kemas. Kami melakukan beberapa kesilapan yang sangat cuai. Contohnya, ada satu pusingan di mana Jason (Forsaken) memegang senjata Judge di posisi ‘heaven’. Dia secara literal sudah memenangi pusingan itu; satu-satunya perkara yang dia tidak patut lakukan adalah melompat keluar dari ‘heaven’, dan teka apa yang dia buat? Dia melompat keluar,” seloroh Alecks.

“Perkara-perkara sebeginilah yang membuatkan saya berasa jengkel, terutamanya di pentas akhir. Saya gembira mereka berseronok dan berasa yakin, tetapi ia boleh menjadi jauh lebih kemas. Saya hanya kecewa apabila ia tidak sesempurna yang saya mahukan.”

Ini merupakan kejuaraan keempat untuk Paper Rex, manakala bagi Davai, mereka akan menuju ke Masters London iaitu kejuaraan antarabangsa yang ke-14 untuknya iaitu satu rekod bagi pemain-pemain di VCT, satu rekod yang dipegang bersama Forsaken. Menjawab soalan mengenai bagaimana pencapaian diterima oleh rakyat Malaysia dan bagaimana ia boleh membantu Valorant di negara asalnya tersebut. Dia mengatakan yang permainan Valorant tidak besar di Malaysia tetapi sentiasa berharap pencapaian dapat memupuk semangat untuk pemain-pemain di Malaysia menjadi profesional di dalam permainan ini.

“Mari kita bersikap realistik. Saya rasa di Malaysia, permainan PC tidak begitu popular. Saya agak faham kerana semua orang mempunyai telefon pintar, jadi lebih mudah untuk dikenali di platform tersebut,” ujar Davai.

Meskipun begitu, beliau meluahkan rasa terharu dengan sokongan luar biasa yang diterimanya daripada peminat tempatan. “Malah, ketika saya mengadakan sesi ramah mesra, saya dapat melihat kehadiran orang ramai yang tidak putus-putus. Saya sangka saya tidak mempunyai peminat seramai itu. Memang seronok apabila dihargai oleh orang kita sendiri. Jadi ya, saya sangat menghargai anda semua.”

Menyentuh soal pelapis dan bakat baharu Valorant di Malaysia, Davai secara jujur mengakui kurang pasti mengenai perkembangan tersebut, namun menaruh harapan agar perjalanannya mampu menjadi pemangkin semangat.

“Saya berharap kehadiran saya di pentas global dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda di luar sana. Perkara utamanya ialah anda hanya perlu percaya pada apa yang anda lakukan. Ia terpakai untuk semua perkara dalam kehidupan. Jika anda mahu menjadi pemain profesional, anda perlu meletakkan banyak usaha dan percaya kepadanya. Saya rasa itu mungkin sesuatu yang kurang dalam kalangan pemain PC Malaysia jika mereka mahu bergelar profesional. Itulah nasihat saya kepada mereka jika mereka benar-benar mahu melakukannya,” pesannya.

Melangkah ke Masters London, status sebagai first seed memberikan kelebihan kepada PRX untuk terus mara ke pusingan playoff, selain itu mereka juga berkongsi perancangan mereka apabila tiba di London kelak.

Bagi Forsaken, kunjungan ke UK ini membuka peluang untuknya memenuhi impian peribadi yang pastinya dekat di hati para peminat bola sepak Inggeris.

“Ya, saya mahu melawat Manchester untuk pergi ke Old Trafford,” kongsinya dengan teruja, Alecks kemudiannya berjenaka mengatakan yang mereka akan ke London bukan Manchester.

Sementara itu, Davai pula mempunyai ‘misi’ tersendiri yang melibatkan bekas kapten NRG, FNS. “Saya harap dia (FNS) muncul di London. Dia ada berjanji untuk belanja saya makan malam sebelum ini tetapi sering memberikan alasan. Jadi, memandangkan dia pastinya mampu, kami sedang menunggumu, Pujan.” Selain mengatakan yang dia teruja untuk ke London kerana tidak pernah mengunjungi bandar tersebut.

Menutup sesi sidang media, Alecks menyifatkan tahap persaingan yang tinggi di VCT Pacific adalah didorong oleh kehadiran pasukan-pasukan elit dari Korea Selatan.

“Kita mempunyai banyak pasukan Korea seperti T1, DRX, dan Gen.G yang telah mendorong kami melebihi had kemampuan sebenar. Saya tidak fikir peningkatan tahap ini akan berlaku di rantau lain. Kami mungkin menjadi perintis kepada corak permainan meluru ke arah lawan, tetapi sekarang setelah rantau Pasifik mula mengadaptasinya, ia sangat menyeronokkan untuk ditonton. Terima kasih banyak-banyak, Korea, kami akan berjumpa anda semua di Stage 2 kelak,” akhiri Alecks.

Leave a Reply