Bekas pembangun dari Namco, Katsuhiro Harada, secara rasminya telah menubuhkan sebuah studio pembangunan permainan baharu yang dikenali sebagai VS Studio SNK Co., Ltd.. SNK Corporation bertindak sebagai pelabur untuk inisiatif ini dan akan memasukkan studio tersebut ke dalam kumpulan mereka sebagai anak syarikat gabungan. Berpangkalan di Osaki, Tokyo, operasi studio ini telah bermula pada 1 Mei 2026, dengan Harada memegang jawatan sebagai Pengarah Perwakilan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Tujuan utama penyatuan ini adalah untuk menggabungkan kepakaran kedua-dua pihak dalam pembangunan permainan baharu. Walaupun entiti ini telah ditubuhkan, wakil SNK, Yasuyuki Oda menyatakan bahawa buat masa ini tiada sebarang butiran projek atau judul spesifik yang telah diputuskan oleh pihak mereka. Oda menyifatkan pembentukan studio ini sebagai satu perkembangan yang penting, memandangkan Harada sebelum ini merupakan pesaing utama SNK di dalam industri.
Sebelum mengetuai VS Studio, Harada menghabiskan 31 tahun kerjayanya di Namco selepas menamatkan pengajian dari Universiti Waseda. Sepanjang tempoh tersebut, beliau mempunyai sejarah pembangunan yang meluas merangkumi judul untuk pasaran arcade, home console, dan VR. Selain pengeluaran permainan, beliau juga dikenali atas penglibatannya dalam pemasaran global serta sokongan terhadap acara komuniti dan kejohanan fighting game yang telah membantu membentuk budaya esukan sejak tahun 1990-an.
Bagi penjenamaan entiti baharu ini, perkataan “VS” dipilih untuk mewakili pelbagai makna. Ia merujuk kepada akar umbi mereka iaitu “Video game Soft” dan konsep “Versus”, selain membawa maksud inovasi lain seperti “Visionary Standard”, “Volition Shift”, dan “Vanguard Spirit”.


