Papan kekunci kebiasaannya perlu dibeli dengan memikirkan apa kegunaan utama, sama ada ingin yang baik untuk menaip dengan kekunci mekanikal atau yang lebih jitu menggunakan analog untuk bermain permainan video. Melalui G512 X 75, Logitech mengambil langkah yang sedikit berbeza. Mereka menggabungkan rasa sedap menaip papan kekunci mekanikal biasa dengan ketepatan switch analog di dalam satu produk yang sama. Selepas mencubanya sendiri, ini adalah pendapat saya tentang papan kekunci keluaran terbaru oleh Logitech ini.



Dari segi rekaan, papan kekunci ini nampak ringkas tetapi sangat kemas. Unit yang saya gunakan berwarna hitam dengan sedikit sentuhan warna ungu (ia juga ditawarkan dalam warna putih). Bagi yang mementingkan alam sekitar, baik untuk ketahui yang Logitech menggunakan sehingga 37 peratus plastik kitar semula untuk membina badannya. Walaupun profilnya tebal dan tinggi, binaan plastik ini membuatkannya terasa sedikit melentur jika ditekan dengan kuat pada bahagian bucu, selain itu ia juga tidak terasa premium seperti yang dibinakan dengan bahan yang lebih premium.
Kekurangan rekaan plastik ini sedikit ditampung dengan Logitech sangat kreatif di dalam penghasilan papan kekunci ini. Antaranya adalah ruang simpanan khas di bawah papan kekunci untuk menyimpan switch ganti dan gelung silikon SAPP. Malah, alat pencabut keycap dan switch yang diberi juga bertindak sebagai kaki papan kekunci yang boleh ditanggalkan. Namun, tempat simpanan gelung silikon itu terasa agak longgar dan mudah tercicir jika tidak berhati-hati. Untuk bahagian atas, ia menggunakan keycaps jenis PBT double-shot yang tahan lasak dan memberi cengkaman yang kemas pada jari.



Seperti saya katakan di atas, papan kekunci ini membolehkan saya untuk menukar kekunci jika ingin sesi kawalan yang lebih jitu melalui soket hot-swappable yang membolehkan saya menukar switch mekanikal 3-pin atau 5-pin dengan mudah. Logitech turut menyertakan sembilan switch analog Gateron KS-20 TMR dan lima gelung silikon SAPP di dalam kotak. Namun, perlu diketahui yang fungsi sensor analog TMR pada model ini hanya terhad kepada 39 kekunci sahaja, yang memfokuskan kepada bahagian kiri dan butang anak panah, iaitu bahagian yang digunakan untuk bermain permainan video.
Proses menukarnya agak mesra untuk yang baru sahaja mencuba pengubahsuaian papan kekunci, tetapi saya tetap perlu berhati-hati memastikan pin masuk dengan lurus. Ia juga mempunyai satu butang fizikal “Scan” di atas papan kekunci. Sebaik sahaja saya menukar switch analog baharu, tekan sahaja butang ini dan sistem akan terus kenal pasti butang tersebut secara automatik. Walaupun proses menukar adalah mudah, akan tetapi saya tidak merasakan satu langkah yang baik untuk sering menukarnya, oleh itu saya perlu membiasakan diri semasa menaip apabila terdapat bahagian yang menggunakan mekanikal dan analog.



Bercakap tentang prestasi, ia memang dibina khusus untuk kelajuan. Dengan polling rate 1,000Hz atau 8,000Hz dan teknologi Rapid Trigger, setiap tekanan butang direkodkan dengan amat pantas. Anda juga boleh menetapkan tahap sensitiviti setiap switch analog dari 0.1mm hingga 4.0mm. Jika diletakkan pada tahap paling rendah, ia sangat sensitif dan memerlukan kawalan jari yang cekap. Bukan sekadar pantas, struktur gasket-mounted di dalamnya yang digabungkan dengan keycaps PBT berjaya menghasilkan bunyi thocky yang sangat sedap didengar dan tidak bising. Ia turut menyokong fungsi pelbagai tindakan, di mana tekanan separuh dan tekanan penuh akan memberikan aksi yang berbeza di dalam permainan. Namun, anda mesti menggunakan perisian komputer untuk mengubah semua tetapan aksi ini.
Penggunaan perisian Logitech G Hub sangat mudah dan lancar untuk menetapkan fungsi penting seperti Rapid Trigger dan juga perlindungan Key Priority (SOCD). Papan kekunci ini juga memudahkan pengguna dengan butang fizikal “Game Mode” yang membolehkan saya menutup fungsi beberapa kekunci yang mungkin cenderung untuk disalah tekan semasa sesi bermain. Selain itu, terdapat juga dua tombol putar untuk mengawal bunyi audio dan kecerahan lampu secara terus, ia tidak boleh ditetapkan semula untuk fungsi lain.



Lampu LIGHTSYNC RGB pada model ini nampak cantik, terutamanya pada jalur lampu di bahagian hadapan yang memberikan pantulan cahaya menarik di atas meja yang juga nampak sangat menarik apabila digunakan bersama dengan tempat letak pergelangan tangan akrilik khusus untuk papan kekunci ini, ia napak sangat cantik dan premium tetapi dengan harga RM169, ia mungkin satu harga yang tinggi. Ia pasti lebih menarik jika Logitech menawarkan harga diskaun apabila dibeli bersama papan kekunci ini sebagai satu pakej.



Kesimpulannya, Logitech G512 X 75 adalah satu pilihan yang sangat berbaloi jika anda mencari kelajuan permainan tetapi masih mahukan rasa papan kekunci mekanikal yang sebenar. Ia memberi kelebihan butang analog hanya pada kawasan kekunci yang paling penting, menjadikannya satu papan kekunci yang seimbang dan selesa untuk penggunaan kompetitif ataupun kegunaan harian. G512 X 75 dijual di pasaran Malaysia dengan harga RM799 untuk saiz 75 peratus, manakala saiz 98 peratus pula berharga RM829. Sayangnya, ia hanya menyokong sambungan berwayar dan tidak menawarkan pilihan Bluetooth atau wayarles 2.4GHz.
Gambar: Jin Soh


