Angry Birds, Dragon Quest, FIFA International Soccer, dan Silent Hill secara rasmi diserap ke dalam World Video Game Hall of Fame 2026. Pengumuman ini dibuat pada 7 Mei di The Strong National Museum of Play, selepas judul-judul tersebut berjaya mengenepikan lapan finalis lain yang merangkumi Frogger, Galaga, League of Legends, Mega Man, PaRappa the Rapper, RuneScape, Elder Scrolls V: Skyrim, dan Tokimeki Memorial.
Keempat-empat permainan ini diiktiraf atas pengaruh jangka panjang yang penting terhadap budaya popular dan industri permainan video secara keseluruhan.

Sebagai perintis genre sports simulation, FIFA International Soccer keluaran EA Sports merupakan francais permainan paling popular dengan jualan melebihi 325 juta salinan menjelang awal 2020-an. Sejak pelancaran pertamanya pada Disember 1993, ia pantas mendominasi pasaran global dan mencatatkan rekod sebagai permainan paling laris di Eropah pada tahun tersebut meskipun dilancarkan pada penghujung tahun. Siri ini terus diterbitkan oleh Electronic Arts secara tahunan sehingga 2023.
Bagi platform mudah alih, Angry Birds (2009) keluaran Rovio mencatatkan angka muat turun mencecah berbilion kali. Permainan ini menjadi titik tolak penting kepada ledakan pasaran permainan telefon pintar secara global. Kejayaan komersialnya turut berkembang pesat melangkaui aplikasi digital kepada penghasilan filem dan barangan dagangan fizikal.
Dalam pada itu, Silent Hill (1999) terbitan Konami memacu evolusi genre horror melalui inovasi grafik 3-D, sistem kamera dinamik, dan fokus utama terhadap psikologi. Siri asal permainan ini terjual lebih dua juta unit, membawa kepada pelbagai sekuel rentas platform dengan jumlah jualan terkumpul melebihi 14 juta salinan. Ia turut diadaptasi ke layar perak, dengan filem pertama pada 2006 mengutip lebih $100 juta dan diikuti oleh dua lagi filem.
Dragon Quest yang dilancarkan pada 1986 pula mentransformasikan format komputer Barat kepada versi konsol yang lebih mudah diakses. Inovasi gabungan kawalan mesra pengguna, muzik, dan struktur naratif yang kuat ini menjadi asas kepada pembentukan roleplaying game moden gaya Jepun, yang kemudiannya memberi inspirasi terus kepada judul-judul ikonik lain seperti Final Fantasy dan Pokémon.
Dengan tambahan terbaru ini, sudah terdapat 53 permainan yang tersenarai di dalam World Video Game Hall of Fame termasuk juga Tamagotchi, SimCity, Resident Evil, The Last of Us, Animal Crossing, Minecraft, Mortal Kombat, Final Fantasy VII, Halo: Combat Evolved, The Sims, dan Doom.
Pameran fizikal bagi kesemua judul baharu ini kini ditempatkan secara kekal di ruang ESL Digital Worlds: High Score di muzium berkenaan. World Video Game Hall of Fame yang diasaskan pada 2015 menerima pencalonan daripada orang awam, dengan keputusan akhir ditentukan sepenuhnya melalui rundingan bersama wartawan, sarjana, dan individu yang pakar dalam sejarah serta impak permainan video terhadap masyarakat.


