Firaxis Games bakal melancarkan kemas kini besar untuk Civilization VII yang dikenali sebagai Test of Time pada 19 Mei ini. Kemas kini percuma tersebut membawakan perubahan drastik terhadap struktur mekanik permainan, terutamanya melibatkan cara pemain menguruskan tamadun mereka merentasi zaman.

Ciri paling utama yang diperkenalkan ialah “Time-Tested Civs”. Melalui fungsi ini, pemain kini mempunyai pilihan untuk mengekalkan satu tamadun yang sama dari awal hingga akhir permainan, berbanding sistem evolusi tamadun yang diperkenalkan sebelum ini.

Bagi menyokong gaya permainan ini, mekanik “Syncretism” membolehkan pemain menyerap Unit Unik atau Infrastruktur daripada tamadun lain yang berada dalam “Apex Age”. Sebagai alternatif, pemain boleh memilih mekanik “Affirmation” untuk memperkasakan lagi identiti unik tamadun asal mereka.

Sistem kemenangan (Victories) juga telah dirombak sepenuhnya untuk memberi ganjaran kepada dominasi pemain di sepanjang tempoh permainan. Sejajar dengan itu, sistem “Legacy Paths” akan dihentikan dan digantikan dengan “Triumphs”. Sistem baharu ini menawarkan objektif pilihan yang mencabar berdasarkan enam atribut utama: Ketenteraan, Budaya, Sains, Ekonomi, Diplomasi, dan Peluasan (Expansionist).

Selain perubahan mekanik teras, Test of Time turut menyertakan pelbagai penambahan kandungan dan teknikal seperti:

  • Peta Fractal Continent dan kemas kini pada sistem penjanaan peta.
  • Antara muka baharu bagi skrin Perdagangan (Commerce) dan Majlis Penasihat.
  • Acara naratif (Narrative Events) baharu serta pelarasan pada sistem Pakar (Specialists) dan Bioma.
  • Penambahan audio, muzik, dan imbangan permainan secara menyeluruh.

Pihak pembangun turut mengesahkan pemberian Leader baharu secara percuma kepada semua pemilik Civilization VII. Identiti pemimpin tersebut akan didedahkan secara rasmi melalui sesi penstriman langsung di saluran Twitch dan YouTube Civilization pada 13 Mei. Sesi tersebut juga akan memperlihatkan demonstrasi permainan bagi ciri-ciri baharu yang akan diperkenalkan dalam kemas kini ini.

Leave a Reply