Stardock Entertainment bakal melancarkan penambahan untuk permainan 4X strategy game mereka, Galactic Civilizations IV, pada 11 Jun 2026. Dikenali sebagai Galactic Civilizations IV: Federations & Empires, penambahan ini mengubah struktur permainan dengan memperkenalkan sistem kerajaan antara bintang yang komprehensif.

Teras utama penambahan ini adalah pengenalan empat bentuk kerajaan: Oligarchy, Technocracy, Empire, dan Federation. Menurut pihak pembangun, setiap jenis kerajaan tidak sekadar memberikan kelebihan pasif, sebaliknya membawakan antaramuka, sumber, serta mekanik politik tersendiri yang menawarkan cara dan strategi baharu untuk pemain mencapai kemenangan atau kekalahan.

Setiap kerajaan berfungsi dengan pendekatan pengurusan yang berbeza. Pemain yang mentadbir di bawah sistem Oligarchy perlu mengendalikan pasaran, pelaburan, dan ekuiti menerusi pengagihan kuasa kepada tiga ahli majlis. Technocracy pula menggantikan polisi tradisional dengan sistem grid pengoptimuman yang membolehkan pemain menjalankan simulasi sebelum melaksanakan sebarang rancangan di dunia taklukan mereka. Bagi bentuk Empire, tumpuan diberikan kepada pengurusan vassal, pengambilan sumber, dan mematahkan pemberontakan yang berskala sejajar dengan pembesaran empayar. Sementara itu, sistem Federation digerakkan oleh proses undian senat dan undang-undang secara konsensus bagi membuka akses kepada kelebihan bersama yang tidak boleh dicapai secara bersendirian.

Selain rombakan sistem pentadbiran, dinamik politik dalam permainan kini dipacu sepenuhnya oleh keadaan dan keputusan berterusan pemain, bukan lagi bergantung kepada proses rawak. Pengaruh empat parti politik baharu, Militarists, Traditionalists, Progressives, dan Industrialists akan mengalami pasang surut berdasarkan situasi semasa empayar. Tindakan salah urus tadbir yang berpanjangan boleh mencetuskan revolusi rakyat secara mengejut, manakala peperangan yang berterusan tanpa sokongan umum mungkin mendorong pihak konco untuk membina armada sendiri dan menggulingkan kerajaan pemain.

Ketua Pereka, Brad Wardell, menjelaskan bahawa sistem baharu dalam penambahan ini menukar cara permainan dimainkan secara asas. Beliau menambah bahawa objektif utama pembangunan ini adalah untuk mensimulasikan bagaimana sebuah tamadun yang melangkaui galaksi menyusun struktur pentadbiran mereka untuk berdepan cabaran jarak yang meluas dan asimilasi budaya.

Pelancaran penambahan ini juga akan diiringi dengan pelancaran kemas kini versi 4.0 secara percuma untuk semua pemilik permainan asas di seluruh platform. Galactic Civilizations IV: Federations & Empires sudah dilancarkan unutk PC.

Leave a Reply