Permainan ARPG Zenless Zone Zero dijadualkan menerima kemas kini Versi 2.8 yang bertajuk New: Eridan Sunset pada 6 Mei hadapan. Dalam perkembangan yang sama, judul tersebut turut disahkan akan turut ditawarkan melalui Steam dengan sokongan keserasian data rentas platform, di mana pemain kini sudah boleh memasukkan permainan itu ke dalam senarai hajat untuk menyahkunci ganjaran pencapaian sasaran.
Fokus utama Versi 2.8 adalah pengenalan dua ejen bertaraf S baharu, iaitu Promeia dan Starlight – Billy. Promeia bertindak sebagai ejen Ice Anomaly yang memanfaatkan mekanik Trial by Cold untuk mencetuskan kerosakan Abloom. Serangan EX Special ejen ini juga mampu mengaktifkan mod Bound Absolution yang membenarkan elakan sempurna (Perfect Dodge) dilakukan secara automatik.
Sementara itu, Starlight – Billy merupakan versi naik taraf kepada watak Billy yang kini diklasifikasikan sebagai ejen Physical Rupture. Serangan Sheer yang dihasilkan oleh watak ini berskala mengikut jumlah health maksimumnya, dan sebahagian kemahirannya turut membenarkan pemulihan kesihatan kendiri. Turut kembali dalam sepanduk versi ini ialah ejen Lucia (Ether – Support) dan Orphie & Magus (Fire – Attack).


Sistem pertarungan turut menerima penambahan dengan kehadiran musuh elemen Wind dan mekanik baharu yang dipanggil Vortex. Jika pemain menggunakan anomali elemen lain ke atas musuh yang sedang mengalami Wind Attribute Anomaly, kesan Vortex akan terhasil bagi menggantikan Disorder. Ini akan memberikan serangan AoE anomali mengikut elemen yang bertindak balas.
Penceritaan Zenless Zone Zero memasuki fasa akhir untuk Musim 2 melalui kemas kini ini. Naratif membawa pemain meneroka kawasan Outer Ring di mana watak utama membentuk pakatan bersama Promeia, Starlight – Billy, dan Cissia bagi memburu sasaran bernama Ramiel.
Selain kempen utama, pemain boleh menyertai acara “Marcel Bootopia” dengan mengawal entiti Eous untuk menyelamatkan Bangboo di sebuah pulau peranginan. Acara ini menawarkan ganjaran utama berupa teras dan unit Booltergeist, sebuah Bangboo bertaraf A yang mampu berlegar di udara serta melepaskan tembakan laser. Pakaian kosmetik baharu untuk Hoshimi Miyabi yang dinamakan Dignified Blossom juga akan ditawarkan di dalam kedai permainan.


Bagi penambahbaikan kualiti permainan, sistem Polychrome Guide baharu diperkenalkan untuk memudahkan pemain menjejak ganjaran masa terhad. Pengurusan sumber dan storan juga dinaik taraf melalui fungsi pemadaman automatik.
Zenless Zone Zero sudah dilancarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series, PC, iOS dan Android sebagai permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam permainan.


